Tiada kerjasama langsung dari pihak kedutaan Korea Utara dalam siasatan kes pembunuhan Kim Jong Nam, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Khalid juga memaklumkan pihaknya kini sedang mengesan tiga lagi individu yang disyaki terlibat dalam pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara itu.

Beliau berkata polis telah memanggil ketiga-tiga suspek tersebut yang dipercayai masih lagi berada di Malaysia menerusi Kedutaan Korea Utara.

Salah seorang suspek, Hyon Kwang Song merupakan Setiausaha Kedua Kedutaan Korea Utara di Malaysia.

"Kim Uk Il pula adalah kakitangan Air Koryo, penerbangan Korea Utara manakala Ri Ji U atau James pula tidak akan saya nyatakan.

"Saya tidak akan nyatakan tugas atau peranan mereka dalam pembunuhan ini kerana ia merupakan subjek siasatan ketika ini.

"Kita percaya mereka masih lagi berada di Malaysia. Kita akan panggil mereka untuk memberikan kenyataan menerusi Kedutaan Korea Utara," katanya pada sidang media di sini.

Ditanya adakah mereka berlindung di Kedutaan Korea Utara, Khalid enggan mengulas perkara tersebut.



Sementara itu, Khalid menafikan anak lelaki Jong-nam, Kim Han-sol, sudah ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) menyerahkan sampel DNA serta membuat pengecaman mayat bapanya seperti dilaporkan beberapa media hari ini.

"Jangan percaya khabar angin. Dia (Han-sol) belum datang," katanya.

Beliau berkata, kehadiran pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) HKL semalam adalah sebagai langkah keselamatan selepas menerima laporan terdapat ancaman cubaan menceroboh ke kawasan itu.

Katanya, sehingga kini belum ada waris atau ahli keluarga Jong-nam tampil menyerahkan spesimen bagi tujuan pengesahan dan pengecaman mayat.