Seramai 1,138 orang terjejas akibat insiden kejadian sesak nafas di Pasir Gudang yang berlaku sejak 25 Jun lalu.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad daripada angka tersebut seramai 1,093 menerima rawatan pesakit luar dan 45 orang dimasukkan dalam wad.

Jumlah itu direkodkan pada 5 Julai dan tiada kes baru dilaporkan sehingga kini.

“Bagi kesemua kes yang dimasukkan ke dalam wad, tiada kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kematian dilaporkan,” kata Dr Dzulkefly ketika merasmikan Pelancaran Program Kampungku Sihat peringkat Parlimen Port Dickson pada Sabtu.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika ditanya pemberita mengenai perkembangan terkini mangsa yang terlibat dalam kes kesesakan nafas di Pasir Gudang akibat pembuangan sisa toksik secara tidak terkawal di daerah itu.

Tambahnya lagi, Pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial juga telah menjalankan saringan kesihatan mental terhadap mangsa yang terlibat.

Menurutnya, secara kumulatif, sejumlah 723 orang awam (termasuk kanak-kanak) telah menerima khidmat bantuan awal psikososial (Psychosocial First Aid - PFA).

Beliau juga menjelaskan secara keseluruhannya, pelajar-pelajar didapati menunjukkan gejala susah bernafas dan rasa loya.

“Mereka merasa takut dan risau akan mengalami perkara yang sama seperti kejadian di Sungai Kim Kim,” ulasnya.

Namun, tegas beliau gejala yang dialami oleh pelajar-pelajar ini dianggap reaksi normal oleh mereka yang telah melalui pengalaman trauma dan mereka boleh ditenangkan dengan baik oleh anggota kesihatan yang bertugas.

Sebelum ini, sembilan kilang menerima arahan untuk ditutup susulan insiden pencemaran udara di daerah itu selain 147 kompaun dan notis sudah dikeluarkan pada Khamis.