Jabatan Peguam Negara memutuskan, pemilik asal banglo Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak melakukan kesalahan berhubung akuan bersumpah (SD) mengenai penjualan banglo berkenaan.

Phang Li Koon, membuat akuan bersumpah berkenaan pada 22 Mac lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata Jabatan Peguam Negara sudah mengarahkan agar tiada sebarang tindakan lanjut diambil ke atas siasatan tersebut awal minggu ini.

“Pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) telah membuat keputusan. Saya telah serahkan kertas (siatan) semua dekat beliau dan Jabatan Peguam Negara di Putrajaya telah putuskan bahawa kes itu telah ditutup (No Further Action).

“Kenapa ditutup? Itu kena tanya pihak DPP. Kita telah siapkan siasatan, kita telah majukan siasatan kepada pihak dia dan DPP di Putrajaya telah putuskan,” kata Abdul Ghafar kepada pemberita.

Li Koon sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 199 Kanun Keseksaan selepas beberapa pihak membuat laporan mengatakan akuan bersumpah itu adalah palsu.

Penjualan banglo Li Koon di Jalan Pinhorn, Jelutong kepada Guan Eng mencetuskan kontroversi kerana dijual pada harga RM2.8 juta, jauh lebih rendah daripada harga pasaran melebihi RM5 juta.

Akuan bersumpah Li Koon dipertikai kerana beliau sendiri tidak membacanya sebaliknya dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Negeri, Phee Boon Poh pada 22 Mac lalu.

BACA: Isu banglo RM2.8 juta: Kita akan panggil Li Koon dan Guan Eng - Khalid

VIDEO: Phang Li Koon tampil beri keterangan

Dalam akuan bersumpahnya, Li Koon menafikan mempunyai sebarang kaitan dengan sebuah syarikat yang memenangi tender pembelian sebidang tanah di Taman Manggis, pada 2012.

Penjualan banglo itu juga katanya, dibuat dengan rela hati tanpa tekanan atau paksaan daripada Guan Eng.