Siasatan dalaman yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman terhadap Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd mendapati tiada sebarang kesalahan dilakukannya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata hasil siasatan Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) pada 2016 mendapati wang tersebut diperoleh hasil daripada penjualan rumahnya di Shah Alam yang pada waktu itu berharga RM700,000 (AUD 260,770).

“Datuk Sri Wan Ahmad telah mengemukakan dokuman sah bagi membuktikan sumber wang itu. Beliau juga telah menberikan justifikasi keperluan untuk membuka akaun luar negara iaitu bagi tujuan membiayai pengajian anak-anaknya di Australia.

“Maka adalah tidak berasas untuk menganggap bahawa wang tersebut dari sumber yang meragukan atau Wan Ahmad Najmuddin Mohd terlibat dalam sebarang bentuk kesalahan yang boleh didakwa,” katanya dalam kenyataan.

Siasatan yang dilakukan JIPS mendedahkan akaun tersebut dibuka oleh Wan Ahmad pada 2011 bagi membayar pengajian sarjana anaknya lelakinya di Australia, malah akaun yang sama dihidupkan kembali pada 2016 untuk pengajian sarjana anak perempuannya.

Dana itu dipertanggungjawabkan kepada seorang rakan rapat yang membuat pemindahan tunai ke dalam akaun bank tersebut di Australia.

Akhbar Sydney Morning Herald (SMH) sebelum ini melaporkan polis Australia merampas sejumlah AUD$320,000 (RM971,728) dalam akaun bank milik Wan Ahmad Najmuddin Mohd kerana disyaki hasil penggubahan wang haram.

Akhbar itu turut memetik kenyataan Allaudeen Abdul Majid daripada unit integriti polis yang mengatakan kejadian ini adalah disebabkan terlepas pandang dan tiada niat jahat untuk melanggar mana-mana undang-undang termasuklah di Australia.