Polis mengesahkan tiada kesan penderaan ke atas dua lagi kanak-kanak lain yang dijaga pengasuh terbabit berkaitan kes kematian Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif yang mayatnya ditemui di dalam peti sejuk di rumah seorang pengasuh di Kampung Nakhoda, Batu Caves, Selayang pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, siasatan berhubung kematian bayi berusia lima bulan itu masih dijalankan.

Menurutnya, pihaknya telah membuat pemeriksaan terhadap kanak-kanak lain yang dijaga wanita berkenaan dan tiada kesan penderaan.

“Selain itu, suspek (pengasuh) itu juga tidak mempunyai rekod lampau malah hasil ujian air kencing terhadapnya juga negatif.

“Kita dalam usaha melengkapkan kertas siasatan dan saya tidak boleh mengulas lebih lanjut kerana ia boleh mengganggu siasatan,” katanya.

5 Julai lalu, mayat Adam Rayqal ditemui di dalam peti sejuk di rumah pengasuhnya dan disahkan mengalami pendarahan dalam otak dan keretakan pada tempurung kepala sebelah kiri.

BACA: Bayi tiga bulan dilarikan dari rumah pengasuh

BACA: Sebak, ibu mahu pangku Adam Rayqal dan enggan naik ambulans

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kecederaan itu disahkan hasil bedah siasat yang dilakukan ke atas bayi berkenaan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) di Hospital Kuala Lumpur.

Keputusan be­dah­ siasat itu sekali gus menafikan kete­rangan yang diberikan oleh suspek warga tempatan sebelum ini yang mendakwa bayi tersebut tersedak susu.