Tiada kompromi bagi pendidik terlibat salah laku seksual

Tiada kompromi bagi pendidik terlibat salah laku seksual
Teo meminta mangsa yang terlibat dengan kejadian salah laku seksual oleh warga pendidik agar tampil membuat laporan agar tindakan sewajarnya dapat diambil. - Gambar fail
KEPALA BATAS: Kementerian Pendidikan tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana warga pendidik jika mereka disabitkan dengan kes salah laku seksual, kata Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching.

Katanya, jika terdapat warga pendidik yang disabitkan dengan kesalahan tersebut, maka kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas guru terlibat selepas kes itu diputuskan mahkamah.

"Kita hendak tegaskan di sini bahawa kementerian tidak akan sesekali berkompromi ke atas kes-kes jenayah seksual yang melibatkan warga pendidik kerana kita memandang serius perkara berkenaan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak projek sekolah baharu di Bandar Putra Bertam, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan seorang pengetua sebuah sekolah di sini yang kini direman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meliwat murid Tahun Lima dan pelajar Tingkatan Satu.

BACA: Polis siasat dakwaan pengetua liwat dua pelajar sekolah

BACA: Trauma dicabul, diliwat pengetua
 

Katanya pada masa ini, guru terbabit akan ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sehinggalah siasatan polis selesai.

"Bagi (pihak) kementerian, apa yang kita buat sekarang adalah kita (akan) tempatkan pengetua itu di PPD di mana dia takkan ada sebarang hubungan dengan pelajarnya dan tidak dibenarkan masuk ke sekolah sehingga siasatan selesai, dan selepas itu barulah KPM boleh ambil tindakan lanjut dari segi (tindakan) disiplin dan sebagainya," katanya lagi.

Beliau turut menyeru mangsa yang terlibat dengan kejadian tersebut untuk tampil membuat laporan agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

"Kita juga akan memberikan perkhidmatan kaunseling kepada mangsa berkenaan supaya emosi mereka tidak terganggu" katanya.

Sementara itu, berhubung kesulitan yang dihadapi oleh kebanyakan peminjam Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tersenarai di bawah CCRIS (Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat) walaupun mereka secara konsisten membuat pembayaran pinjaman tersebut pada setiap bulan, Teo meminta pihak terbabit membuat aduan.

"Minta mereka hubungi pejabat saya (kementerian) supaya kita boleh buat siasatan kerana garis panduan kita adalah jika mereka membuat bayaran secara konsisten setiap bulan, sepatutnya nama mereka tidak ada di dalam senarai CCRIS," katanya.

-- BERNAMA