Keputusan kerajaan negeri Perak menukar perkataan 'Amanjaya' pada nama bangunan atau tempat kepada lokasi di mana ia terletak adalah bagi mempopularkan nama tempat tersebut berbanding jenama Amanjaya.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, semua tempat, bangunan awam dan dataran tidak perlu lagi menggunakan jenama tersebut, sebaliknya perlu kekal dengan nama kawasan berkaitan.

"Dulu memang banyak nama Amanjaya, tetapi kita tukar nama kepada tempat berkenaan.

"Sebelum ini kerajaan berpandangan mungkin nak selaraskan, tetapi pentadbiran hari ini, kita nak naikkan nama tempat berkenaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan syarikat berkaitan kerajaan Digital Perak Corporation Holdings di Perak Techno Trade Center (PTTC), di sini, hari ini.

Ahmad Faizal berharap agar nama-nama itu akan dikekalkan, walau siapapun yang memerintah.

“Tidak perlu tukar nama lain, sebab nama tempat, dataran, bangunan awam tidak perlu dipolitikkan. Kalau nama Stadium Perak kita kekalkan Stadium Perak, tidak perlu ubah kepada Stadium Perak Harapan atau sebagainya.

"Kalau sekiranya kerajaan bertukar, tidak perlu lagi ubah kepada nama lain, kekal sahaja nama tempat itu," ujarnya.

Katanya penjenamaan semula nama itu turut mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebelum ditukarkan.

"Memang kita hendak menghebohkan kepada orang ramai perkara ini. Saya nak nyatakan di sini 'dulu lain, sekarang lain'.

"Dulu nama setiausaha kerajaan negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan sekarang Zainal Azman Abu Seman, dulu Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sekarang Ahmad Faizal.

"Saya harap esok kalau ada Menteri Besar baharu tidak perlu tukar nama bandaraya Ipoh ke nama lain, kekalkan Ipoh sebagai Ipoh, Kampar sebagai Kampar, Meru Raya sebagai Meru Raya. Tidak perlu tukar 80 kali, jadi pening.

"Kalaulah tukar kerajaan nanti, tidak ada pertukaran, biar ia kekal jadi sebab itu saya berpandangan nama-nama tempat ini tidak perlu dipolitikkan," katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian mengulas surat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Unit Perancangan Ekonomi negeri, yang tular di media sosial sejak dua hari lalu.

Surat itu menyatakan penjenamaan semula terminal berkenaan mendapat persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Perak Bil. 1967 bertarikh 24 April lepas.

Ia ditandatangani Ketua Penolong Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Pua Kian Sien bagi pihak Setiausaha Kerajaan Negeri.

Ahmad Faizal mengakui kerajaan negeri telah mengeluarkan surat berkenaan dan menjenamakan semula Terminal Amanjaya kepada Terminal Meru Jaya manakala Terminal Bas Kampar kepada Terminal Kampar Putra.

Selain itu, Bulatan Amanjaya di Meru Raya turut ditukar nama kepada Bulatan Sultan Azlan Shah sebagai mengenang jasa dan sumbangan baginda kepada Perak.

Jenama Amanjaya diperkenalkan ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional di bawah Zambry.