Mulai esok pemilik kenderaan di negara ini tidak perlu lagi gusar untuk dikenakan saman oleh pihak berkuasa sekiranya kadar ketelusan cahaya tampak atau cermin gelap kereta mereka melebih had yang ditetapkan.

Ini kerana, Kementerian Pengangkutan sudah menetapkan tiada lagi had bagi cermin gelap untuk semua kenderaan persendirian.

Menurut menterinya, Anthony Loke Siew Fook, kelonggaran itu bagaimanapun, hanyalah untuk cermin kiri dan kanan penumpang serta belakang sahaja.

Sebelum ini, ketelusan cahaya tampak ditetapkan pada kadar 30 peratus seperti digariskan dalam Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991.

Sehubungan itu, Anthony berkata, peraturan baharu menetapkan kadar ketelusan cahaya bagi cermin depan kenderaan pula adalah 70 peratus manakala bagi cermin sisi kiri dan kanan pemandu terikat pada 50 peratus.

"Cermin di belakang dan cermin penumpang tidak ada had, boleh gelap. Sebab ramai yang mintak supaya kita longgarkan untuk berikan lebih gelap supaya kita boleh tahan haba dan sebagainya.

"Kita dah ambil pertimbangan itu tetapi kita tak boleh kompromi untuk cermin depan dan untuk cermin pemandu sebab itu yang lebih penting dan itu (had) kita kekalkan sedia ada," kata beliau dalam sidang media di Putrajaya.

Beliau turut menegaskan, kebenaran itu hanya tertakluk untuk kenderaan motor milik persendirian sahaja.

Bagi kenderaan motor yang didaftar dan digunakan untuk pengangkutan awam dan barangan, kadar ketelusan cahaya tampak atau peratusan cahaya tampak tidak boleh kurang daripada 70 peratus.

Selain itu, Anthony berkata, kerajaan juga akan memperkenalkan fi permohonan dan pemprosesan baharu sebanyak RM50 ke atas setiap kelulusan menggunakan cermin yang lebih gelap bertujuan meningkatkan hasil kerajaan.

“Mana-mana individu boleh memohon untuk menggunakan cermin lebih gelap sama ada menerusi menggunakan lapisan filem atau penggunaan kaca lebih gelap yang menjadikan peraturan cahaya tampak adalah kurang, atas sebab khusus seperti faktor keselamatan atau kesihatan," jelas beliau lagi.