Tutup

"Tiada lagi minum di coffee house, hisap cerut, bawa beg jenama" - Asyraf gesa Pemuda kikis imej elit

"Tiada lagi minum di coffee house, hisap cerut, bawa beg jenama" - Asyraf gesa Pemuda kikis imej elit
Asyraf Wajdi gesa Pemuda UMNO tidak alpa dan sombong, sebaliknya, perbaiki imej parti. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menuntut anggota parti membaca isyarat yang tersirat dalam kemenangan parti di empat Pilihan Raya Kecil sebelum ini termasuk di Tanjung Piai.

Tegasnya, ia jelas menunjukkan rakyat tidak mahu anggota parti alpa dan sombong, sebaliknya terus memperbaiki parti.

Malah, beliau mengingatkan mana-mana individu agar tidak menjadi seperti 'serigala berbulu kambing' kerana sebelum ini mengkhianati parti namun sekarang berusaha cuba merebut kedudukan.

"Lebih membimbangkan, semakin bersinar cahaya gemerlapan di hujung terowong, semakin ramai yang dulunya menyepi, seakan bernafas kembali. Makin ramai yang dulunya mengkhianati sehingga terjun meninggalkan parti, hari ini diam-diam sudah kembali, bahkan ada yang sudah pasang kaki, mengatur strategi untuk merebut pelbagai posisi dalam parti.
"Orang seperti ini Pemuda ingin ingatkan. Jangan sesekali menjadi “serigala berbulu kambing”, sudahlah dulunya umpama “mayang menolak seludang”, meninggalkan parti yang banyak jasa kepada mereka setelah parti hilang kuasa.

"Tiba-tiba hari ini, sudah mengintai posisi dan mula membina kem-kem dalam parti. Ingatlah “pelanduk mungkin selalu melupakan jerat, namun jerat tidak sesekali lupa pada pelanduk”, katanya semasa menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung Sayap Pemuda di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Pemuda UMNO menggariskan lima pendirian penting sebagai azimat untuk UMNO sentiasa berada pada landasan yang betul.

Pertama, fokus pemerkasaan parti iaitu menyemarakkan agenda Islah, pengkaderan, pentarbiyahan dan pemerkasan dalaman parti.

"Jangan sesekali kita leka dan alpa dek seronok dan selesa dengan kemenangan di Cameron, Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai hingga kita kembali sombong dan angkuh,bahkan mula bercakaran sesama sendiri. “Winning few battles do not mean we can already win a war”," katanya.

Kedua, Pemuda mesti terus dengan gerak kerja mengakar, merimbun dan membumi kepada segenap lapisan masyarakat samaada di kota mahupun di desa.

"Pemuda UMNO dengan imej yang baru tidak harus ada lagi sifat elitis yang dilihat memperagakan kemewahan diri dan hanya minum di coffee house, bersigar (hisap cerut) atau menggendeng beg berjenama semata-mata.

"Ketiga, menjauhi persengketaan dan mengutamakan permuafakatan sebagai satu keluarga besar yang mendukung wadah perjuangan UMNO.

"Kita boleh berbeza pandangan. Kita juga boleh berbeza pendekatan , apatah lagi perjuangan. Tetapi jangan sesekali kita berprasangka dan bersengketa sesama sendiri! Depan berkelakuan cantik, belakang menyimpan perasan jelik. Depan “yes boss, bagus boss, beres boss!

"Tetapi hakikatnya “menanam tebu di bibir”. Bak kata pepatah lama, “ada aku dipandang hadap, tiada aku dipandang belakang”," kata Asyraf Wajdi berfalsafah.

Keempat, Pemuda UMNO juga, jelas beliau, perlu kekal berdikari dan setia hanya pada institusi dan perjuangan parti bukan individu mahupun personaliti.

"Kelima, pemuda mesti terus menjuarai agenda rakyat dengan menjadi pembangkang berwibawa, mendengar denyut nadi dan membawa suara hati rakyat secara tegas tanpa rasa takut.Isyarat melalui 4 PRK yang dimenangi cukup jelas, bahawa rakyat mahu kita kembali, tetapi dengan wajah yang baharu," ujarnya.


Tag: Asyraf Wajdi Dusuki, UMNO, Pemuda UMNO, PWTC, PAU2019



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.