Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini akan dilaksanakan menggunakan kaedah normal baharu mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata, penamaan calon dengan berhimpun beramai-ramai seperti yang sering dilakukan mungkin tidak akan berlaku pada PRK Chini.

"Dengan normal-normal yang baharu, saya yang mengetuai Jabatan Pilihan Raya sedang menyusun beberapa SOP (prosedur operasi standard) kempen yang baharu.

"Banyak kaedah yang baharu akan diguna pakai, contohnya kita sedang menimbangkan untuk penamaan calon barangkali BN tidak lagi seperti mana biasa yang ada berarak dan berhimpun.

"Kita akan ikut penamaan calon yang bertepatan dengan SOP dan juga panduan KKM," katanya kepada media.

Mengulas lanjut, BN dan Muafakat Nasional, kata beliau, bersetuju untuk berkempen dan menjalankan gerak kerja pilihan raya secara bersama.

Annuar berkata, nama calon yang bakal ditampilkan pula akan diputuskan dalam masa terdekat selepas mendapat persetujuan daripada Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Najib Razak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 Jun ini sebagai tarikh penamaan calon manakala 4 Julai sebagai tarikh mengundi.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, UMNO, kata beliau bersedia menerima kembali bekas ahlinya yang keluar menyertai parti lain sebelum ini.

Katanya, UMNO dan Muafakat Nasional sudah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan selepas ada bekas ahli UMNO yang ingin kembali menyertai parti itu.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan diminta mengulas hasrat ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim yang ingin kembali menyertai UMNO selepas menjadi wakil rakyat bebas selama 23 bulan.