Jabatan Kesihatan Sarawak memaklumkan tidak langsung menerima sebarang laporan penyakit kencing tikus ataupun nama saintifiknya leptospirosis di dua lokasi tempat riadah, masing masing di Sungai Cina Matang , Kuching dan juga di Sungai Pulau Ayer di kaki Gunung Gading Lundu Sarawak seperti yang diviralkan bermula malam tadi.

Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak, Dr Jamilah Hashim ketika dihubungi Astro AWANI melalui aplikasi Whatsapp pagi tadi, juga menyangkal yang pihaknya mengeluarkan mesej amaran melalui Whatsapp mengenai kejadian di kedua-dua tempat berkenaan.

Menurutnya lagi, semakan turut dibuat dengan bilik gerakan tentang kes berkenaan dan mendapati tiada laporan dibuat dan tidak pasti siapa yang menyebarkan tentang maklumat kencing tikus itu kepada umum.

"Setakat ini apa yang boleh saya maklumkan ialah Jabatan kami tidak menjalankan rutin persampelan alam sekitar dan ujian air di kawasan kawasan rekreaksi tersebut untuk mengesan leptospirosis tetapi kami hanya menjalankan ujian terhadap pesakit," katanya.

Selain itu, beliau juga memaklumkan untuk turut membuat semakan di agensi lain yang berkaitan untuk memastikan jika mereka ada membuat ujian air di kawasan berkenaan.

Malam tadi, satu mesej amaran berkaitan dengan kencing tikus telah dihantar melalui aplikasi Whatsapp yang mendakwa kedua-dua lokasi serta anak sungai berdekatan kawasan berkenaan dicemari penyakit kencing tikus dan tidak sesuai untuk dikunjungi.

Tinjauan di salah satu kawasan rekreasi di Matang juga mendapati tiada sebarang perkelahan berlaku di sana memandangkan hari ini merupakan hari bekerja dan tempat berkenaan hanya dikunjungi ramai pada hujung minggu.

Tinjauan juga mendapati tiada aktiviti pemeriksaan dilakukan oleh mana mana pihak berkaitan di sepanjang sungai dan kawasan sekitarnya.