Tabung Haji (TH) tidak pernah memberi keistimewaan kepada mana-mana individu untuk melangkau giliran bagi menunaikan haji.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, bagi memastikan proses giliran secara telus, TH turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya tiada istilah kuota menteri atau timbalan menteri atau sesiapa sahaja bagi mendapatkan giliran dengan melangkaui giliran untuk menunaikan haji.

“Tidak ada istilah kuota menteri atau timbalan menteri kerana Tabung Haji sentiasa memastikan proses ini dijalankan secara telus dan dipantau secara terus oleh SPRM sendiri.

“Jadi tidak timbul isu (seperti yang) dimainkan di media sosial seolah-olah ada pilih kasih atau keistimewaan tertentu diberikan pihak tertentu. Itu tidak betul,” ujar beliau.

Beliau juga turut menyangkal dakwaan TH memberikan keistimewaan atau laluan kepada pelakon, Neelofa untuk menunaikan haji selepas sebulan mendaftar.

Sebaliknya kelulusan visa tersebut diberikan oleh syarikat swasta dan bukannya melalui TH.

Seramai 1,600 jemaah haji dari Kelantan akan menunaikan Rukun Islam kelima itu pada musim haji kali ini.

Dr Asyraf Wajdi seterusnya berkata, 76,000 rayuan dibuat oleh pendaftar TH untuk menunaikan haji tahun ini namun kekosongan yang ada hanyalah 3,695.

Katanya, kekosongan itu kerana terdapat pendaftar yang menolak untuk menunaikan haji pada tahun ini atas pelbagai faktor.

Tambah beliau, tidak pernah seseorang itu dikeluarkan daripada giliran, setelah diberikan giliran bagi tahun tertentu.

Caj visa

Mengenai caj visa kepada individu yang ingin menunaikan umrah atau haji bagi kali kedua dan seterusnya seperti yang dilaporkan media Arab Saudi.

Dr Asyraf Wajdi berkata, belum ada maklumat rasmi mengenai perkara itu daripada kerajaan Arab Saudi mahupun kedutaan Arab Saudi di Malaysia.

“Kita pun baru dapat maklumat ini dari media Saudi. Kita belum dapat secara rasmi daripada kerajaan Saudil. Tapi perlu ingat, caj ini hanya kepada (mereka yang mahu menunaikan haji) kali kedua dan sudah tentu beri kesan kepada kos,” ujar beliau.

Tambahnya, kos haji sentiasa bertambah dari tahun ke tahun namun Perdana Menteri minta TH mengekalkan subsidi, dengan nilainya sejumlah RM160 juta bagi tahun ini.

Caj tersebut katanya bagi mereka yang menunaikan ibadat berkenaan kali kedua dan kerajaan katanya juga tidak akan memberikan subsidi kepada jemaah haji yang menunaikan haji buat kali kedua.

Untuk rekod, sejumlah 250,000 rakyat Malaysia menunaikan umrah setiap tahun termasuk yang berulang mengerjakan ibadat bekenaan.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji di Kompleks Islam Jubli Perak, Panji, di sini Khamis malam.

Majlis yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob itu turut dihadiri Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan anggota Lembaga TH Tan Sri Shukry Mohd Salleh.

Pada majlis itu, 150 bakal haji menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.05 pagi sebelum menaiki penerbangan seterusnya ke Madinah pada 4.05 pagi tadi.