Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan tiada sebarang masalah sekiranya Malaysia ingin membuka kedutaan Palestin di Amman, Jordan.

Menurut Abdul Hadi, sekiranya mendapat persetujuan dan keizinan kerajaan Jordan, hasrat itu bukan satu masalah.

“Oleh kerana saya difahamkan buka di Jordan, terpulang kepada kerajaan Jordan mengizinkan, saya rasa tak jadi masalah.

“Kita dah ada hubungan diplomatik dengan mereka dan NGO juga sudah lama bergerak sejak zaman dulu lagi di Amman. Semua nak confirm secara rasmi, itu sahaja,” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian dalam sidang media semasa menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra, pada Jumaat.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Oktober lalu mengumumkan Malaysia ingin membuka kedutaan Palestin di Amman, Jordan.

Menurut Dr Mahathir, pembukaan kedutaan Palestin di Jordan akan dilakukan secepat mungkin.

Cadangan berkenaan bukan semata-mata kerana umat Islam, sebaliknya kerana ketidakadilan yang berlaku terhadap negara itu sejak beberapa dekad lalu.

BACA: Kedutaan untuk Palestin akan dibuka dalam masa terdekat - Dr Mahathir