Malaysia perlu mempunyai keseimbangan dalam membantu para pelarian dengan melindungi kedaulatan dan keselamatan negara.

Kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Malaysia akan tetap mencari jalan penyelesaian terbaik bagi jangka panjang kepada masalah pelarian dan bukan hanya penyelesaian secara ad hoc.

"Kami mahu mengangkat martabat setiap insan, khususnya mereka yang rentan. Inilah kekurangan yang dihadapi, tetapi pada masa yang sama masih terdapat kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) ke negara ini dan kami tidak tahu sama ada kami dapat mengekang jumlah kemasukan itu.

"Ia juga melibatkan soal keselamatan dan infrastruktur," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Dr Wan Azizah, yang menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) pada Rabu, berkata Malaysia telah melancarkan projek rintis yang dilaksanakan pda tahun lepas, apabila 300 pelarian Rohingya yang disahkan statusnya oleh UNHCR telah ditawarkan pekerjaan dalam sektor pertanian dan pembuatan.

"Tetapi kadar pengambilan bagi komuniti pelarian Rohingya adalah kurang, ia berikutan apa yang kami tawarkan tidak sepadan dengan keperluan mereka. Kami ingin membantu etnik Rohingya atas dasar kemanusiaan sejak mereka dibuang dari negara asal. Namun kami tidak mahu ia merebak dan mendatangkan masalah di kemudian hari," katanya.

Beliau turut memohon agar UNHCR menyediakan Malaysia satu pangkalan data bagi kemasukan pelarian yang memasuki sempadan negara ini.

"Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kami ingin membantu. Kita perlu memberi tumpuan terhadap masalah ini, bukan mengeksportnya ke negara jiran," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Wan Azizah berkata Kabinet telah memutuskan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung kejadian di Wang Kelian, Perlis, dan akan mengambil tindakan lanjut berdasarkan penemuan siasatan.

Beliau berkata kerajaan juga menyediakan diskaun 50 peratus rawatan perubatan bagi etnik Rohingya, dan kerajaan turut mengeluarkan pas khas IMM13, yang membolehkan pelarian belajar, bekerja dan menjalankan aktiviti ekonomi sementara apabila bermastautin di Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Biro Asia dan Pasifik UNHCR Indrika Ratwatte, dalam kenyataan sama berkata, UNHCR tidak mempunyai masalah untuk berkongsi data biometrik dengan Malaysia, sekiranya terdapat perjanjian rasmi mengenainya. -- Bernama