Rundingan berhubung semakan semula kadar bayaran air antara dua negara berjiran Malaysia dan Singapura yang bermula bulan lepas melibatkan Peguam Negara kedua-dua pihak, dilihat sebagai pendekatan baru dalam mencari penyelesaian yang logik dan adil terhadap isu perjanjian air yang secara umumnya dilihat tidak adil kepada Malaysia.

Bagaimanapun penganalisis di Malaysia sedar mengenai tugas mencabar yang menanti para perunding dari Malaysia dalam menampilkan penyelesaian menang-menang atau ketetapan mengenai kadar yang logik bagi pembekalan air mentah itu, yang mana harganya kekal sama sejak 1962, dan akan terus kekal sehingga 2061 sekiranya tiada semakan semula.

Singapura membayar 3 sen bagi setiap 1,000 gelen air mentah dan menjual kembali air terawat kepada Johor pada harga 50 sen setiap gelen, dengan Johor memperoleh air terawat sehingga dua peratus atau lima mgd (juta gelen sehari) daripada air yang dibekalkan kepada Singapura.

Pakar geostrategi dan bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Azmi Hassan berkata: "Ia permulaan yang baik memandangkan Singapura sebelum ini enggan berbincang mengenai kadar air dalam mana-mana mesyuarat rasmi. Saya anggap mesyuarat antara dua Peguam Negara ini sebagai tanda Singapura sanggup berbincang mengenai isu ini walaupun kadar status quo memberi kelebihan manfaat kepada mereka.

"Bagaimanapun, kita perlu berhati-hati di sini kerana hujah Singapura selama ini adalah bahawa keabsahan perjanjian air harus dijunjung tidak kira apa terjadi," katanya.

"Saya lebih suka diplomat kanan kita mendahulukan perbincangan dengan mengetengahkan hujah kita bahawa kadar semasa adalah tidak logik dari segi komersil," katanya kepada Bernama sebagai respons kepada kenyataan yang dibuat Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah semalam yang memaklumkan bahawa rundingan berhubung semakan semula harga air mentah yang dibekalkan oleh Malaysia kepada Singapura telah bermula bulan lepas.

Saifuddin dilaporkan berkata perbincangan diadakan antara Peguam Negara Tommy Thomas dan rakan sejawatnya dari Singapura Lucien Wong, dan beberapa siri rundingan akan diadakan.

Ahad lepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata rundingan berhubung kadar air itu memang diadakan, namun beliau tidak mendedahkan maklumat lanjut mengenai waktu bila ia diadakan.

Menurutnya satu pasukan pegawai Malaysia 'sedang menguruskannya' dan mereka turut merangkumi perwakilan dari Johor, negeri yang membekalkan air mentah kepada Singapura.

Isu pembekalan air dibangkitkan sekitar pertengahan tahun lepas sekembalinya Dr Mahathir menerajui tampuk pentadbiran negara susulan kemenangan dalam pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei, apabila Perdana Menteri mengkritik harga air mentah kepada Singapura, yang disifatkannya "tidak masuk akal", dan beliau bercadang mengadakan rundingan bagi menyemak semula terma-terma perjanjian.

Perjanjian yang tamat pada 2061 itu memberikan hak kepada Singapura untuk mendapatkan 250 mgd air mentah daripada Sungai Johor.

Azmi berpendapat Singapura mampu membayar pada kadar lebih tinggi berbanding kadar semasa dan bersetuju dengan Dr Mahathir bahawa kadar semasa bukan hanya tidak patut, malah tidak logik.

Sementara itu senada dengan pandangan berkenaan, pensyarah sains sosial Universiti Sains Malaysia Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata sudah tima masanya bagi Kuala Lumpur meminta semakan semula kadar itu, yang kekal tidak berubah sejak 1962.

"Sepatutnya kadar itu sudah berubah pada tahun 1962 lagi... namun entah macam mana tiada tindakan di pihak kita. Saya yakin Malaysia dan Singapura boleh mencapai hasil yang positif yang memihak kepada kita melihat kepada respons positif pihak sebelah sana, kearah menghuraikan satu formula bagi mendapatkan kadar baru untuk air kita," katanya dan menambah kadar semasa memang tidak masuk akal.

Sementara itu seorang professor dari Jabatan Hal Ehwal Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Dr Mohd Kamarulnizam Abdullah pula berkata beliau tidak optimis Singapura akan bersetuju kepada semakan semula, sehingga tahun 2061.

"Ini isu lama yang dibangkitkan oleh Tun Dr Mahathir semasa menerujui negara buat kali pertama lagi, Singapura hanya akan bersetuju apabila tarikh tamat perjanjian semakin hampir. Salah satu taktiknya nanti ialah Singapura akan melambatkan proses membuat keputusan, atau meyukarkan rundingan, atau juga mendakwa Malaysia membuat tuntutan yang tidak boleh diterima.

"Jangan lupa mereka juga ada masalah dengan Malaysia berhubung ruang udara, dan sekiranya Malaysia dapat meyakinkan Singapura sekalipun, jumlah kenaikannya mungkin tidak akan besar sangat," tambahnya.

-- BERNAMA