Tiada pertemuan sulit antara Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada Khamis.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Borhan Aman Shah, berkata sebaliknya pertemuan yang berlangsung di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor pada ketika itu adalah mesyuarat antara Amirudin dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkaitan usaha menangani penularan wabak COVID-19 di negeri ini.

"Perbincangan mesyuarat itu turut menyentuh kerjasama kerajaan negeri Selangor dan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam penyesuaian kebiasaan baharu pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Mesyuarat itu juga dihadiri Exco Kesihatan negeri, Dr Siti Mariah Mahmud, kakitangan KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor. Kami menafikan dakwaan terdapat pertemuan sulit berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Semalam, satu portal berita mendakwa terdapat pertemuan sulit antara Amirudin, Mohamed Azmin dan Hamzah di kediaman rasmi menteri besar itu susulan tularnya gambar menu makanan untuk disajikan kepada 20 tetamu termasuk ada yang bertaraf 'VVIP'.

Portal itu juga mendakwa kedudukan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di Selangor goyah apabila ada dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PKR yang dikatakan menyokong Mohamed Azmin ketika beliau menjadi Timbalan Presiden PKR bakal beralih sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, laman media sosial Mohamed Azmin turut 'menepis' dakwaan portal berita itu apabila terdapat beberapa gambar menunjukkan beliau berada di Kedah semalam bagi melakukan kunjungan hormat ke atas menteri besar negeri itu.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mempunyai 56 kerusi iaitu PKR (19), DAP (16), Parti Amanah Negara (8), Bersatu (5), Barisan Nasional (5), PAS (1) serta Bebas (2).

-- BERNAMA