Tidak ada kenaikan terhadap tarif air di Selangor walaupun Stream B Loji Rawatan Air Langar 2 (LRA2) telah diserahkan kepada Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Datuk Dr Xavier Jayakumar yang memberi jaminan itu berkata kerajaan telah membuat perkiraan yang perlu dan mendapati tarif air boleh kekal seperti keadaan semasa.

"Air Selangor berada di bawah Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), yang merupakan agensi kerajaan. Kadar sewa (LRA 2) berada pada kadar faedah minimum yang boleh dibayar balik dalam tempoh 45 tahun.

"Tidak ada bank, atau ada cara lain yang mereka akan dapat peluang untuk membayar balik dalam tempoh lebih 45 tahun. Itu sebabnya ia akan menjadi jumlah yang sangat nominal yang perlu dibayar oleh Air Selangor," katanya kepada sidang media hari ini selepas menyaksikan penyerahan Stream B LRA2 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa ditanya sekiranya penyerahan itu akan memberi kesan kepada tarif air.

PAAB diberi tanggungjawab membangunkan LRA2 berasaskan bantuan kewangan yang diterima daripada kerajaan persekutuan.

Dr Xavier, yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat, bagaimanapun berkata tarif air perlu dikaji dalam jangka masa panjang supaya syarikat air juga merasa selesa, dan menggunakan keuntungan mereka bagi mencari cara untuk mengurangkan Air Tidak Berhasil (NRW).

Beliau memberi jaminan bahawa jumlah perbelanjaan isi rumah untuk keperluan air tidak akan melebihi dua peratus.

Sementara itu merujuk kepada cadangan untuk mendapatkan bekalan air dari Pahang untuk diagihkan ke lain-lain negeri di Semenanjung, Dr Xavier berkata pihak kementerian sedang melihat kepada beberapa cadangan dan perlu membuat kajian yang lebih mendalam kerana ia melibatkan kos yang amat tinggi.

Terdahulu dalam ucapannya Dr Xavier berkata kerajaan persekutuan menerusi PAAB memperuntukkan RM4.2 bilion untuk pembinaan LRA2 khusus bagi memenuhi permintaan air bersih yang semakin meningkat di Lembah Klang.

Beliau berkata LRA2 boleh membekalkan 1,130 juta liter sehari (MLD) untuk keperluan hampir dua juta pengguna selepas ia disiapkan sepenuhnya pada 2023.

Stream B akan membekalkan 565 MLD kepada hampir 900,000 pengguna di Hulu Langat, Cheras, Bangi, Semenyih dan kawasan Pudu.

LRA2 dijangka memenuhi permintaan air bersih di Lembah Klang sehingga 2025, dengan pembinaannya telah bermula sejak tahun 2014, dan pada mulanya ia dijadualkan siap pada 2017.

Sementara itu Dr Xavier turut berkata pihaknya akan terus memantau paras air empangan menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi memastikan pembekalan air mentah mencukupi.

Katanya SPAN telah mengenal pasti dan menjalankan beberapa langkah mitigasi bagi negeri-negeri seperti Kedah, Pulau Pinang dan Perlis dalam menghadapi musim kemarau.

-- BERNAMA