Tiada peruntukan dalam peraturan mesyuarat parlimen yang membenarkan mana-mana ahli Dewan Rakyat untuk mengemukakan usul tidak percaya.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, berkata untuk berbuat demikian, peraturan sedia ada perlu diubah terlebih dahulu.

"Tidak ada dalam peraturan mesyuarat. Jika ada ahli parlimen yang lebih arif, datang dan beritahu saya. Memang tidak peruntukan sedemikian.

"Umpamanya satu kesalahan dibuat seseorang macam mana polis mahu ambil tindakan kalau tiada peruntukan dalam mahkamah jenayah? Tidak boleh. Tiada. Jadi kalau ada orang mahu buat begitu, ubah dulu peraturan mesyuarat," katanya dalam sidang media selepas perasmian Perhimpunan Agung Antara Parlimen Asean (AIPA) ke-36 di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan tiada ahli parlimen yang boleh memanggil sidang tergempar di Dewan Rakyat kecuali Perdana Menteri.

"Ada pihak yang kata harus ada sidang tergempar. Dia tidak ada hak. Yang cuma mempunyai hak untuk memanggil sidang tergempar sebelum tarikh yang ditetapkan awal ialah Ketua Majlis iaitu Perdana Menteri.

"Dalam peraturan 4, beliau seorang sahaja yang boleh menulis kepada Speaker untuk meminta sidang tergempar diadakan contohnya, untuk membincangkan sesuatu perkara penting. Itu pun memerlukan notis dan saya akan mengatur agar sidang itu diadakan," katanya lagi.

Sebelum ini, beberapa pemimpin pembangkang mendesak agar sidang tergempar Dewan Rakyat diadakan kerana mendakwa integriti Perdana Menteri terhakis.