Kehilangan guru besar Sekolah Kebangsaan Taman Keramat Satu, Jashiah Rabu, 53, memasuki hari ke-56 hari ini namun masih tiada petunjuk baharu berkenaan lokasi beliau berada.

Ketua Balai Polis Kuala Kubu Bharu ASP Mohd Razip Md Tahir berkata polis telah melakukan pelbagai usaha tetapi Jashiah masih gagal dikesan malah anggota keluarganya turut menemui jalan buntu.

"Kita masih menyiasat kes ini dan risikan juga dijalankan bagi mengesan mangsa walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) dihentikan pada 10 Nov lepas," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan Jashiah supaya tampil memberi maklumat di balai polis berdekatan.

Ibu kepada empat anak itu kali terakhir dilihat jirannya keluar dari rumahnya di Taman Seri Seruling pada 23 Okt lepas dan difahamkan menghala ke kawasan Hutan Simpan Bukit Kutu dengan berjalan kaki dan menumpang kereta orang lain sejauh kira-kira 10 kilometer.