Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam insiden serangan bom di Ankara, Turki semasa perhimpunan aman Sabtu lepas.

Insiden itu mengakibatkan 95 orang terbunuh dan 246 yang lain cedera selepas dua pengebom berani mati bertindak meletupkan diri di persimpangan berhampiran stesen kereta api utama Ankara.

Dalam kenyataan hari ini, Wisma Putra turut mengingatkan rakyat Malaysia yang berada di Turki agar sentiasa mengutamakan keselamatan.

"Rakyat Malaysia yang bermastautin atau pun yang melawat Turki hendaklah sentiasa memantau suasana sekeliling dan mematuhi nasihat yang dikeluarkan Kerajaan Republik Turki," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican hari ini mewakili Malaysia untuk menandatangani buku takziah di Kedutaan Besar Republik Turki di sini sebagai penghormatan kepada mangsa yang terlibat.