Kementerian Pendidikan belum ada rancangan untuk menubuhkan sebuah universiti perguruan baru kerana universiti sedia ada sudah cukup untuk melahirkan bakal pendidik yang berkualiti.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan berkata, beliau tidak tahu menahu tentang sumber yang mengatakan bahawa kerajaan mempunyai cadangan untuk menubuhkan sebuah Universiti perguruan baru itu dan menganggap kenyataan itu sebagai sumber yang tidak sah.

“Pengumuman yang disebutkan tadi untuk kita menubuhkan sebuah universiti perguruan baru yang saya tidak tahu dimana sumber itu dan ia bekemungkian tidak sah. Tetapi saya menyebutkan hari ini belum ada rancangan kerana yang sudah sedia ada pun sudah mencukupi,” kata Muhyiddin.

Tan Sri Muhyiddin berkata demikian semasa menjawab soalan seorang peserta pada sesi dialog semasa mengadakan perjumpaan khas dengan warga universiti pendidikan Sultan Idris di Kampus Sultan Azlan Shah di Proton City, Tanjung Malim pada Jumaat.

Pada majlis dialog itu juga beliau menjelaskan kerajaan akan mengkaji dengan lebih lanjut mengenai cadangan untuk mengabungkan 27 buah Institusi Perguruan Malaysia (IPGM) bersama UPSI di bawah satu universiti pendidikan.

Katanya, sebenarnya IPGM pun tarafnya seperti juga universiti cumanya mereka yang terlatih di IPGM ditadbir untuk dijadikan guru di sekolah-sekolah rendah di seluruh negara yang jumlahnya lebih besar dari sekolah menengah.

Menurut Muhyiddin, mereka yang diambil daripada UPSI dan IPTA adalah untuk dihantar guru-guru ke sekolah-sekolah menengah dan ini langkah yang sedang diambil kerajaan.

Mengenai cadangan sama ada IPGM itu akan berganjak ataupun dinamakan semula ataupun diletakkan sebagai satu universiti pendidikan yang besar, katanya, ini cadangan yang kerajaan boleh kaji tetapi memerlukan kajian yang teliti.