Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan, tiada sebab untuk Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) membincangkan sama ada Tun Dr Mahathir Mohamad perlu meletak jawatan atau sebaliknya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, ini adalah kerana, Perdana Menteri sebelum ini telah menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatannya selepas Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia - Pasifik (APEC) pada November 2020.

“Sehingga sekarang saya rasa tidak ada apa-apa sebab perlu adakan (mesyuarat) Majlis Presiden (PH) khusus untuk bincang perkara ini kerana Perdana Menteri telah sebut bahawa beliau akan tinggalkan jawatan selepas November. Jadi ia akhir tahun, tinggal tak berapa lama,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau sebelum itu menyerahkan peruntukan menyelenggara dan menaik taraf sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan sekolah pondok berjumlah RM100 juta kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof di Kementerian Kewangan, di sini.

Menurut Guan Eng, peralihan kuasa berkenaan perlu dilakukan dengan teratur tanpa berlaku sebarang kekecohan serta mengikut jadual yang dirancangkan.

“Biar kita ikut jadual yang beliau (Perdana Menteri) telah syorkan. Ia harus dijalankan secara teratur, tersusun dan tanpa sebarang kekecohan dan hanya dengan cara ini barulah transisi atau penyerahan kuasa berjalan dengan lancar,” tambah beliau lagi.

Guan Eng berkata, gangguan terhadap peralihan kuasa berkenaan hanya akan memberi kesan dalam negara selain menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

“Saya rasa ini (peralihan secara teratur) akan mewujudkan keadaan yang stabil untuk negara dan pertumbuhan ekonomi.

"Marilah kita bersatu hati atau mempunyai tekad yang sama untuk pembangunan ekonomi. Jadi kita tidak harus mempertikai atau membangkitkan perkara-perkara yang tidak membantu ekonomi kita,” tegas beliau lagi.

Di sebalik pelbagai gesaan dan tuntutan meminta peralihan kuasa dilakukan pada Mei ini, Guan Eng melihat sikap Dr Mahathir sentiasa terbuka dengan pelbagai pendapat.

“Saya lihat ini menunjukkan beliau terbuka sekiranya Majlis Presiden (PH) nak buat sesuatu keputusan, beliau akan terimanya. Tapi sehingga ini, jadual ditetapkan adalah selepas APEC dan itu akhir tahun. Biarkan ia berjalan lancar.

“Sekiranya kita tak dapat pastikan peralihan kuasa berjalan lancar dan licin, susah untuk dapat keyakinan rakyat dan sukar juga untuk menghadapi PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15),” ujar Guan Eng.

Pada Selasa, Dr Mahathir sekali lagi menegaskan, kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri akan ditentukan oleh Majlis Presiden PH dan sekiranya persetujuan untuk beliau berundur dicapai, beliau tidak akan membantah.

BACA: Kalau Majlis Presiden PH nak saya pergi, saya akan pergi - Dr Mahathir

Sebelum ini, beberapa ahli PKR dilaporkan menggesa agar dipercepatkan peralihan kuasa Perdana Menteri pada Mei ini, bagi memberi lebih masa kepada presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan reformasi pentadbiran negara.