Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata beliau tidak nampak sebarang sebab untuknya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah, sebagaimana desakan oleh pihak tertentu baru-baru ini.

Itu jawapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika diminta mengulas desakan pihak terbabit yang mahukan beliau meletakan jawatan baru-baru ini.

Bagi Mukhriz, beliau tidak rasa itu satu desakan kerana jawatan menteri besar yang disandang ketika ini adalah amanah daripada perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan juga rakyat Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-13 sebelum ini.

Malah, masih banyak tugas yang perlu dilakukan untuk rakyat Kedah selepas mereka memberi mandat kepada Barisan Nasional untuk mentadbir negeri dan ia perlu di laksanakan.

“Saya rasa tiada sebab untuk saya nak lepaskan jawatan. Ini pun amanah daripada yang amat berhormat perdana menteri dan juga amanah daripada rakyat jadi tidak timbul pula sebarang masalah yang sampai begitu besar yang akan memerlukan saya meletakkan jawatan,” kata Mukhriz.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jalinan Tani Nafas, MADA dan penyerahan insentif estet padi NKEA musim satu 2015 di Pertubuhan Peladang Kawasan MADA, Kodiang, Kedah hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Mukhriz tidak perlu dipaksa sokong Najib - KJ
ARTIKEL BERKAITAN: Mukhriz harus letak jawatan jika tidak nyatakan sokongan terhadap Najib - Adun Kedah
ARTIKEL BERKAITAN: Isu Dr Mahathir: Mukhriz tersepit di antara Najib dan ayah sendiri - Raja Nong Chik

Beliau mengulas kenyataan Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Lada Datuk Ahmad Lebai Sudin baru-baru ini yang mendesak beliau untuk meletak jawatan sebagai Menteri Besar jika gagal menyokong Perdana Menteri.

Ahmad meminta Mukhriz menyatakan sokongannya kepada Perdana Menteri dengan segera sebagaimana yang dilakukan oleh Badan-Badan Perhubungan UMNO Negeri yang lain dan tidak bertindak menangguhkannya.

Hari ini, terdapat blog tidak dikenali yang mendakwa Menteri Besar Kedah itu bakal meletak jawatan pada 24 April ini.

Badan Perhubungan UMNO Kedah dijadualkan bermesyuarat di Kuala Lumpur pada 24 April ini untuk mencari persetujuan tentang kenyataan sokongannya terhadap kepimpinan Perdana Menteri.

Sebelum ini Mukhriz berkata, UMNO Kedah akan mengeluarkan kenyataan sokongan terhadap Najib itu berdasarkan konsensus daripada kesemua pemimpin-pemimpin UMNO Kedah.

Beliau juga berkata, tidak akan ada kenyataan daripada UMNO Kedah sehinggalah mesyuarat 24 April itu diadakan.