Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Tiada tanda COVID-19 merebak melalui makanan - KP Kesihatan

Tiada tanda COVID-19 merebak melalui makanan - KP Kesihatan
Dr Noor Hisham jelaskan bahawa setakat ini tiada tanda bahawa wabak COVID-19 merebak menerusi makanan. - Bernama
PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan bahawa setakat ini tiada tanda menyatakan bahawa wabak COVID-19 merebak menerusi makanan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kebimbangan orang ramai sekiranya terdapat pekerja restoran yang menyediakan perkhidmatan makanan bawa pulang didapati positif jangkitan itu.
"Kita belum dengar yang virus ini merebak menerusi makanan, tapi apa yang penting jika salah seorang pekerja positif, maka kita perlu saring kontak rapat di restoran itu," katanya pada sidang media harian, di sini pada Ahad.

Terdahulu, terdapat laporan bahawa perkhidmatan makanan bawa pulang di IKEA Tebrau, Johor ditutup sementara sehingga diberitahu kelak kerana salah seorang pekerjanya didapati positif COVID-19.
IKEA Tebrau dalam satu kenyataan di laman webnya, memaklumkan mengenai seorang petugas didapati positif pada 1 April dan pihaknya bekerjasama rapat dengan pegawai kesihatan awam demi memastikan keselamatan petugas dan pelanggan diutamakan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menunggu garis panduan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung keperluan memakai penutup mulut dan hidung berada di tempat awam.

 

"Bagaimanapun, kami menggalakkan agar petugas kesihatan dan juga barisan hadapan seperti polis memakai penutup mulut dan hidung.


"Kepada orang awam pula, jika mereka mempunyai gejala, pakai penutup mulut dan hidung. Sekiranya anda mendedahkan diri kepada orang ramai, mungkin anda perlu memakai penutup tersebut," katanya.

-- BERNAMA


Tag: Noor Hisham Abdullah, Kementerian Kesihatan, kesihatan, koronavirus, COVID-19, merebak melalui makanan, IKEA Tebrau, KKM



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.