Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, parti itu tidak akan mengambil tindakan disiplin terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berhubung video yang memuatkan rakaman beliau ketika berkempen di Tanjung Piai baru-baru ini.

Menurut Perdana Menteri, tindakan Ahmad Faizal hanyalah untuk menerangkan kepada sekumpulan nelayan di Tanjung Piai yang agresif yang menganggap parti Pakatan Harapan (PH) dikuasi oleh DAP.

"Dia dihadapi oleh nelayan yang begitu agresif, jadi mereka (nelayan berkenaan) menganggap parti Pakatan Harapan(PH) ini dikuasai DAP.

"Jadi dia (Ahmad Faizal) terang walaupun (beliau) satu orang sahaja yang lain banyak DAP di Perak.

"Tetapi dia (Ahmad Faizal) masih menjadi Menteri Besar, dia menguasai kerajaan bukan bermakna DAP menguasai kerajaan yang menguasai kerajaan Menteri Besar.

"Oleh kerana orang ini (nelayan berkenaan) sangat ekstrem pandangan dia, kalau kita terang cakap kami duduk bawah DAP apa boleh buat jadi nak bagi dia sokong terangkan waluapun satu orang bukan bermakna dikuasai oleh DAP," kata Dr Mahathir dalam sidang media sejurus berakhir Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Putrajaya pada Isnin.

Hadir sama Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Tambah Dr Mahathir, dalam situasi tertentu, keadaan sebenar perlu dijelaskan dalam kerajaan PH.

"Kadang-kadang kita dalam situasi tertentu kita perlu menjelaskan keadaan sebenar dalam PH, adakalanya DAP menguasai, adakalanya Bersatu berkuasa, kadangkala PKR dan Amanah sahaja yang dapat Melaka," ujar beliau lagi.

Baru-baru ini, sebuah rakaman video yang tular di media sosial, Ahmad Faizal dilihat memberitahu penduduk mengenai usahanya menjaga kepentingan Melayu dan Islam.

Dalam rakaman itu beliau dilihat bersama Karmaine sedang duduk bersantai dengan penduduk sambil menceritakan situasi yang sedang berlaku di negeri pimpinannya itu.

BACA: 'Kenyataan di luar konteks, video penuh lebih 20 minit' - Ahmad Faizal