'Kampung kami bertukar jadi pulau kecil'.

Itu yang berlaku di Kampung Tanjung Bukit Mentok, Kemaman setiap kali hujan lebat dan bertembung dengan fenomena air pasang besar.

Menurut penduduk, kejadian paling teruk berlaku pada 2013 apabila banjir besar itu hampir menenggelamkan rumah mereka.

Walaupun penduduk kampung berkenaan telah lali dengan situasi banjir seumpama itu, namun setiap kali hujan berterusan selama tiga hari berturut-turut, mereka akan bersengkang mata memantau keadaan kerana dibimbangi berlaku banjir.

Menurut seorang penduduk, Mohd Fairus Mat Sudin, kejadian banjir terbaharu berlaku kira-kira jam 3 pagi.

"Mujurlah jiran-jiran yang kejutkan kerana ketika itu sedang tidur.

"Sebaik melihat ke luar, rumah dah dikelilingi air penuh, sudah macam pulau kerana hanya rumah sahaja yang nampak yang lain itu semua air," katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Mohd Khairil Anuar Abdullah, berkata, dia telah membuat persiapan awal untuk berpindah sebaik hujan berterusan.

"Banjir yang berlaku sekarang ini berlaku dengan pantas, lebih-lebih lagi bila ada air pasang sejak 31 haribulan Disermber lagi."

"Paras air banjir juga naik berperingkat-peringkat dan apa yang berlaku sekarang antara yang terburuk," katanya ketika ditemui di sini, pada Selasa.