Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir yakin tiada pengeluaran panik akan dibuat oleh pendeposit akaun Lembaga Tabung Haji (TH) walaupun hibah yang diumumkan kali ini adalah yang terendah.

Beliau berkata walaupun banyak maklum balas negatif yang diterima, pengeluaran secara panik itu tidak akan berlaku kerana sistem perkhidmatan yang digunakan oleh TH adalah antara yang terbaik di dunia.

"Sistem perkhidmatan yang dipraktik TH menjadi pilihan untuk dipelajari oleh banyak negara Islam yang lain, tetapi disebabkan oleh pengurusan terdahulu yang tidak telus, pendeposit yang terpaksa menanggung keadaan itu.

"Buat masa sekarang penjelasan demi penjelasan telah dikeluarkan oleh TH dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengenai isu kadar agihan hibah itu," katanya kepada pemberita di sini, pada Ahad.

BACA: Tabung Haji nafi cawangan Bachok kehabisan wang

BACA: 1.25 peratus, hibah terendah dalam sejarah Tabung Haji

Beliau menjawab persoalan sama ada akan berlaku pengeluaran panik oleh pendeposit susulan pengumuman hibah TH bagi tahun kewangan 2018 sebanyak 1.25 peratus oleh Mujahid, Jumaat lepas.

Sementara itu, Mukhriz, yang juga Menteri Besar Kedah, berkata beliau juga yakin isu kadar agihan hibah itu tidak akan menggugat kempen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

"Isu itu tidak akan jejaskan PRK Rantau kerana kami akan dedahkan segala kemungkaran yang telah dibuat oleh pengurusan TH yang terdahulu supaya masyarakat tahu apa yang berlaku sebenarnya," katanya.


Dalam perkembangan lain, mengenai tindakan pihak tertentu yang menjadikan isu Statut Rom sebagai alat untuk menjatuhkan Perdana Menteri ,Tun Dr Mahathir Mohamad, Mukhriz berkata tindakan itu tidak akan melemahkan semangat PH sebaliknya menyatupadukan lagi parti.

"Apa juga hasrat pihak tertentu itu, mereka akan terima reaksi yang kuat daripada PH dan ini akan kuatkan lagi parti untuk terus beri sokongan kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

"Sebenarnya ia perkara baik tapi buat masa ini kita tidak tandatangan, tetapi harapan saya satu hari nanti semua akan sedar perkara itu. Buat masa ini, bagi kita (kerajaan) masa untuk terangkan mengenai Statut Rom ini kepada semua orang," katanya.


-- BERNAMA