Tidak berhenti menangis, bayi 10 bulan dicubit pengasuh hingga lebam

Tidak berhenti menangis, bayi 10 bulan dicubit pengasuh hingga lebam
Ketika kejadian, anak lelaki wanita itu yang berusia empat tahun dipercayai melihat perbuatan dera ibunya itu. - Foto Facebook Chuby Zee
KEPALA BATAS: Gara-gara geram bayi asuhannya tidak berhenti menangis, seorang pengasuh bertindak mencubit bayi berusia 10 bulan dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Seri Serdang, Kepala Batas, Pulau Pinang semalam.

Ketika kejadian, anak lelaki wanita itu yang berusia empat tahun dipercayai melihat perbuatan dera ibunya itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor memaklumkan pihaknya menerima laporan pada pukul 2.30 petang daripada ibu mangsa yang mendapati tubuh kesan lebam dipercayai didera pengasuh pada tubuh anaknya.

Noorzainy berkata, menurut ibu bayi itu, dia menghantar anaknya ke rumah pengasuh berkenaan pada jam 7 pagi dalam keadaan baik sebelum pergi bekerja.

Bagaimamapun kira -kira jam 10 pagi dia telah menerima pesanan Whatsapp dari pengasuh yang memaklumkan terdapat kesan lebam ditubuh anaknya.

"Berikutan itu, ibu bayi berkenaan telah membawa anaknya ke Hospital Kepala Batas untuk pemeriksaan lanjut.

"Hasil pemeriksaan oleh Pegawai Kesihatan mengesahkan banyak kesan lebam kemerahan di dada dan kebiruan di perut bayi berkenaan dipercayai dicubit," katanya.

Tambah Noorzainy, pihaknya kemudian menahan suspek di rumahnya petang semalam.

"Siasatan awal mendapati pengasuh wanita berusia 33 tahun itu mengaku mencubit bayi berkenaan kerana geram apabila bayi malang tersebut tidak berhenti menangis," katanya.

Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.