Akibat tidak memakai topi keledar dan menunggang motosikal dengan kelajuan yang tinggi, seorang lelaki maut terputus kepala selepas terlibat kemalangan akibat melanggar pembahagi jalan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof kejadian berlaku di Kilometer 24, Lebuh Raya Silk, pukul 5.25 pagi Khamis.

“Siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal sedang dalam perjalanan dari arah Kajang menuju ke rumahnya di Pulau Carey tanpa memakai topi keledar.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, mangsa menunggang dalam keadaan laju dan telah hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan sebelah kiri lalu kepala mangsa terhentak dan terseret di atas pembahagi jalan bersama dengan motosikalnya sejauh 60 meter.

“Akibat pelanggaran kepala mangsa telah terputus dari badan dan motosikal mangsa dijumpai 10 meter di hadapan mayat mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ahmad Dzaffir berkata mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedic dan mayat mangsa dibawa ke Forensik Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

“Kenderaan mangsa dibawa ke Puspakom untuk diperiksa. Polis menasihati pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan jalan raya dan memastikan kenderaan dalam keadaan baik serta elakkan sebarang pemanduan dalam keadaan letih di musim perayaan,” jelas beliau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.