Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran kepada para Menteri, Timbalan Menteri dan Ahli-ahli Parlimen kerajaan berhubung isu kehadiran mereka pada persidangan Dewan Rakyat.

Menurut Perdana Menteri, isu yang sama juga telah dibincangkan secara mendalam dalam mesyuarat Kabinet.

“Kita dapati bahawa kadang-kala menteri berada di luar negara kerana sekarang terlalu banyak mesyuarat antarabangsa yang mereka perlu hadir.

“Bagi Ahli (Parlimen) biasa, mereka juga ada masalah lain. Kadang-kadang mereka tidak ada dalam dewan, tapi ada dalam bangunan ini.

“Jadi, mereka boleh dipanggil guna cara loceng. Kita bagi warning (amaran) kepada mereka supaya menentukan kehadiran mereka,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.


Ditanya sama ada isu berkenaan dilihat sebagai masalah disiplin, Dr Mahathir berkata, soal jumlah kuorum kadang-kala hanya sebagai langkah politik (political reason).

“Ini berlaku pada mana-mana kerajaan. Saya pergi sekali di Kongres Amerika dan saya dapati orang itu (perwakilan) cakap seorang sahaja. Cuma ada dua orang lagi, tapi tidak bangkit soal korum kerana kadang-kadang ia political reason (tindakan politik),” katanya.

Khamis lalu, sidang Dewan Rakyat sekali lagi terhenti seketika apabila berlaku tidak cukup bilangan jumlah Ahli Parlimen yang duduk bersidang.