Ahli Dewan tidak seharusnya mempersoal atau mempertikaikan titah Yang di-Pertuan Agong pada pembukaan penggal Parlimen pada Isnin ini.

Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz yang memetik Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka menjelaskan perkataan titah sendiri merujuk kepada arahan atau perintah.

"Apabila dikatakan titah, perkataan titah sendiri menunjukkan arahan Yang di-Pertuan Agong dan kita sebagai rakyat jelata perlu menjunjung titah baginda," katanya ketika temu bual di Astro AWANI melalui Skype, di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut Shamrahayu menjelaskan bukan sahaja kerajaan malah pembangkang dan juga semua lapisan rakyat perlu melaksanakan titah baginda.



Katanya, meskipun kedudukan Yang di-Pertuan Agong tidak mengatasi undang-undang negara namun secara moralnya adalah sesuatu yang tidak beretika untuk mempersoalkan atau tidak bersetuju dengan titah baginda.

Dalam titah pada pembukaan Parlimen pada Isnin, Shamrahayu menjangkakan selain isu COVID-19 dan kestabilan ekonomi, baginda berkemungkinan akan menyentuh mengenai institusi raja, memandang isu tersebut banyak dibangkitkan ketika peralihatan kerajaan baru-baru ini.

Antara lain katanya, baginda juga akan menyentuh mengenai kecemerlangan pejuang frontliners termasuk jururawat dan petugas perubatan yang berjaya mendatarkan lengkungan COVID-19.