PIHAK kerajaan disarankan melihat kembali cadangan untuk memperkenalkan cukai soda seperti yang telah diutarakan oleh Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua kerana terdapat cukai-cukai sedia ada yang lebih sesuai untuk dinaikkan bagi menampung hasil kerajaan pada masa akan datang, serta pada masa yang sama dapat menjamin tahap kesihatan rakyat negara kita.

Antara yang perlu dinaikkan adalah cukai rokok. Memandang terdapat berjuta rakyat negara ini yang ketagihan merokok, kenaikan cukai terhadap rokok dalam negara kita sudah pasti dapat menampung hasil kerajaan yang hilang selepas terhapusnya cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada bulan Jun yang lalu.

Demi menjaga kesihatan rakyat negara ini buat jangka masa panjang, adalah penting supaya sebarang bahan atau barangan yang boleh mengundang ketagihan serta membawa kepada masalah kesihatan kepada rakyat diberi peningkatan cukai yang mendadak.

Langkah itu bagi memberi tekanan dari sudut psikologi serta beban kewangan terhadap mereka yang ketagih dengan penggunaan bahan atau barangan yang berbahaya terhadap kesihatan berkenaan.

Umum telahpun mengetahui mengenai bahaya yang datang akibat daripada aktiviti ketagihan merokok terutamanya dari sudut kesihatan.

Bahaya yang hadir daripada tabiat merokok ini bukan sahaja akan mengundang bahaya kepada si perokok terbabit malah turut mengundang bahaya kepada orang sekeliling yang terpaksa menghidu asap yang dihasilkan oleh rokok terbabit.

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan sebelum ini terutamanya melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memberi pendedahan serta kesedaran kepada orang ramai mengenai bahaya merokok.

Ia disampaikan melalui iklan-iklan bahaya rokok serta penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan dengan aktiviti larangan merokok dalam negara kita.

Pihak kerajaan sebelum ini juga sering melakukan aspek penambahbaikan sudut perundangan sedia ada bagi membendung budaya merokok dalam kalangan rakyat.

Antara aspek penambahbaikan undang-undang yang telah dilakukan ialah seperti penambahan bilangan zon larangan merokok seperti yang telah termaktub dalam Peraturan-Peraturan Kawalan hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 324).

Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan bagi membendung isu ketagihan merokok ini, namun masih terdapat ramai pihak yang mengambil mudah serta memandang ringan mengenai isu merokok ini.

Lebih malang, tabiat merokok ini sudah mula menular dalam kalangan golongan remaja dan kanak-kanak yang masih bersekolah.

Ini adalah perkara yang tidak seharusnya dibiarkan berlaku kerana golongan remaja dan kanak-kanak terbabit telah terdedah dengan bahaya ketagihan merokok semenjak usia muda lagi.

Walaupun sudah wujud undang-undang bagi membendung penjualan rokok bagi golongan bawah umur dalam negara kita, namun perkara penjualan rokok dalam kalangan generasi muda masih belum dilihat terkawal.

Oleh yang demikian, sudah sampai masanya langkah lain diambil oleh pihak kerajaan bagi membendung isu penjualan serta ketagihan menghisap rokok dalam negara kita seperti langkah dengan menaikkan cukai terhadap rokok serta bahan-bahan yang digunakan untuk membuat rokok seperti tembakau.

Langkah menaikkan cukai bagi barangan yang berasaskan tembakau seperti rokok perlu diberi perhatian yang serius oleh pihak kerajaan kerana ia sedikit sebanyak dapat membendung penjualan serta ketagihan merokok dalam kalangan rakyat negara kita terutamanya oleh generasi muda.

Jika cukai terhadap rokok dinaikkan, sudah pasti harga rokok akan dinaikkan. Jika harga rokok sudah dinaikkan, individu yang terlibat akan mula berfikir banyak kali sebelum mereka membeli rokok terbabit.

Cadangan kenaikan cukai terhadap rokok ini bukanlah satu yang baharu malah sudah terdapat pelbagai pihak terutamanya badan bukan kerajaan (NGO) serta Persatuan Pengguna yang turut merasakan cadangan kenaikan cukai terhadap barangan terbabit perlu dilaksanakan.

Ia perlu supaya tabiat merokok dapat ditangani dengan lebih berkesan di samping proses penguatkuasaan undang-undang sedia ada berkaitan dengan penjualan dan pengimportan rokok ke dalam negara kita.

Dengan menaikkan cukai terhadap rokok, akan menjadikan rokok sebagai salah satu barang mewah sekali gus akan menyebabkan pengguna berfikir berpuluh-puluh kali sebelum ingin membeli seterusnya menjadi ketagih terhadapnya.

Cadangan untuk menaikkan cukai ke atas rokok ini boleh dipertimbangkan oleh pihak kerajaan di dalam proses pembentangan Bajet 2019 yang akan datang melalui pihak Kementerian Kewangan.



* Dr Muzaffar Syah merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI