Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Tidak perlu gelang khas untuk buktikan negatif COVID-19 - Ismail Sabri

Tidak perlu gelang khas untuk buktikan negatif COVID-19 - Ismail Sabri
Ismail Sabri berkata, KKM tidak mewajibkan pemakaian aksesori tersebut kerana surat daripada doktor sudah memadai. - Gambar BERNAMA
PUTRAJAYA: Kerajaan tidak mewajibkan pemakaian gelang atau rantai khas bagi membuktikan seseorang itu negatif COVID-19 kerana surat pengesahan doktor sudah memadai.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pemakaian aksesori itu tidak pernah diwajibkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mereka yang menjalani ujian atau saringan COVID-19.

“KKM tidak mewajibkan mereka yang telah lakukan swab test memakai gelang untuk buktikan mereka negatif COVID-19.

“Surat (daripada doktor) sudah memadai untuk tunjukkan mereka negatif... (tambahan pula) negatif sekali dalam ujian, belum tentu negatif selama-lamanya,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya pada Jumaat.
Mengulas mengenai jika ada keperluan pemakaian gelang sedemikian bagi pendatang asing tanpa izin (PATI), beliau menjelaskan alasan sama turut terpakai kepada mereka.

“Kalau berkenaan PATI, tak perlu risau kerana mereka terus dimasukkan ke depoh tahanan imigresen atau tempat disediakan kerajaan selepas swab test dilakukan. Jadi tak perlu pakai gelang pun tidak mengapa.
“Tapi rakyat biasa, selepas mereka melakukan swab test, mereka diberi surat daripada doktor dan ia boleh digunakan untuk tunjukkan bukti mereka negatif COVID-19,” katanya.