Ketua Pembangkang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berpendapat Barisan Nasional (BN) tidak perlu mewujudkan Kabinet Bayangan bagi proses semak dan imbang Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Sebaliknya, bekas timbalan perdana menteri itu berkata, Ahli Parlimen BN dan Pas akan diberi portfolio tertentu supaya mereka boleh memberi fokus kepada subjek spesifik yang dibangkitkan dalam Dewan Rakyat.

“Kami telah membuat senarai nama Ahli Parlimen dari sebelah pembangkang di bawah BN dan Pas.

"Kami merasakan, perbahasan akan menjadi lebih baik kerana Ahli Parlimen yang terpilih mempunyai pengetahuan yang luas terhadap sesetengah subjek,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, walaupun wakil rakyat yang terpilih mempunyai portfolio mereka tersendiri, mereka tetap bebas untuk menyentuh isu-isu lain kerana BN perlu menjadi pembangkang yang konstruktif.

Sebelum ini, bekas ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) berkata, Kabinet Bayangan perlu ditubuhkan bagi memastikan setiap menteri di pihak kerajaan PH bertanggungjawab terhadap portfolio masing-masing.

Menurutnya, ia bagi memastikan UMNO dan BN dapat dilihat sebagai pembangkang yang berwibawa, serta membangkitkan lagi kepercayaan sebagai kerajaan alternatif masa kini di mata rakyat.