Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kini melapor terus kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Malah, Ketua Pengarah NADMA, Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus menegaskan agensi itu tidak memerlukan menteri khusus dalam mengendalikan agensi itu.

"Saya rasa bahawa modus operandi yang menggunakan PM dan TPM itu saya rasa sudah memadai. Tidak perlu kita nak ada satu menteri spesifik untuk menjaga NADMA ini.

"NADMA ini perlu di bawah pengawasan terus PM dan TPM untuk memastikan semua kerjasama dalaman semua kementerian ini dapat kita gembeling," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Tambahnya, NADMA juga akan mengemaskini mekanisma prosedur setelah berlaku perubahan dari segi pelaksanaan.

"Cuma mekanisma kita akan dikemaskini untuk lapor terus ke PM dan TPM supaya semua koordinasi itu mesti bawah payung PM dan TPM.

"Buat masa ini, kita beroperasi mengikut tatacara yang kita ada. Alhamdulillah, kita dapat tangani melalui kerjasama kita dengan agensi-agensi lain," katanya.

Tambahnya, Wan Azizah telah memberi sokongan yang kuat kepada NADMA serta agensi lain dalam menyelaras mangsa semasa dan pasca banjir.