Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak perlu dilaksanakan di Labu Lanjut, Sepang, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, kes positif di kawasan itu hanya melibatkan satu keluarga dan tidak berjangkit kepada orang lain.

“Kluster Kampung Labu Lanjut yang kita kenal pasti ada jangkitan iaitu melibatkan lima kes dan kita masih menjalankan siasatan. Kita telah kenal pasti 29 kontak rapat.

“Lima kes itu dari seorang yang positif dan menjangkiti ahli keluarga tersebut tapi tiada kes positif selain keluarga itu.

“Kita rasa tak perlu PKPD di kawasan tersebut, memadai dengan kita jalankan saringan,” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini pada Isnin.

Astro AWANI pada Sabtu melaporkan KKM mengesahkan satu lagi kluster baharu dikesan di Labu Lanjut, Sepang membabitkan lima kes positif COVID-19.

Dr Noor Hisham berkata, kes indeks merupakan seorang pesakit Jangkitan Respiratori Akut (ARI) di Hospital Serdang yang dikesan positif COVID-19 pada 5 Jun lalu.

Jelas beliau, aktiviti pengesanan kes secara aktif mendapati empat ahli keluarga pesakit, masing-masing dua orang anak dan dua cucu turut dikesan positif COVID-19.