Tutup

Tidak pernah ber'dating', Raja Permaisuri Agong kenang cinta 'padang polo'

Tidak pernah ber'dating', Raja Permaisuri Agong kenang cinta 'padang polo'
Al-Sultan Abdullah berkenan memimpin tangan Tunku Hajah Azizah untuk berangkat keluar dari Balairung Seri, Istana Negara selepas istiadat pertabalan baginda, 30 Julai, 2019. --fotoBERNAMA
"CINTA di padang polo!"

Itu titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar mengenang permulaan jalinan percintaan baginda bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhun Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah Shah.

Titah baginda, disebabkan ayahanda baginda terlalu tegas, baginda tidak pernah keluar berjanji temu dengan Tuanku Agong.

"Saya jumpa Tuanku (Agong) umur 12 tahun, Tuanku berumur 13 tahun dan kita dapat berjumpa kerana Johor dan Pahang selalu berlawan polo," titah baginda dalam satu wawancara bersama kumpulan wartawan tempatan baru-baru ini.

Wawancara itu dimuat naik menerusi laman YouTube Utusan Online.

Tunku Azizah ialah puteri kepada Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail, iaitu Yang di-Pertuan Agong kelapan. Almarhum merupakan Sultan Johor ke-24 sebelum mangkat pada Januari 2010.
Tuanku Agong ialah anakanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, iaitu Yang di-Pertuan Agong ketujuh. Almarhum merupakan Sultan Pahang dari 1974 sehingga Januari 2019. Baginda mangkat pada 22 Mei 2019. 

BACA: #AgongKita: 'So sweet' YDP Agong, Permaisuri saling berpegangan tangan

Tunku Azizah bertitah, disebabkan kekangan teknologi, baginda berdua hanya berutus surat untuk saling berhubung dan menariknya, surat-surat berkenaan masih disimpan.

"Masa tu Tuanku berangkat belajar ke England, telefon mahal masa itu. Tuanku akan menelefon sekali sebulan, tetapi antara tempoh itu tulis surat lah."




Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah juga bertitah bahawa Tuanku Agong merupakan seorang yang pemalu.
"Tuanku (Agong) masa saya berkenalan pandai menulis surat tetapi apabila berjumpa senyap.

"Jadi apabila jumpa di padang polo, tengok-tengok sahajalah."

Titah baginda, baginda dan Tuanku Agong adalah sahabat baik yang boleh berbincang mengenai apa-apa juga perkara.

Ditanya apakah gelaran panggilan yang sering digunakan oleh pasangan diraja berkenaan, titah Raja Permaisuri Agong, "Saya panggil (Tuanku Agong) 'Alam'. Nama timangan Tuanku ialah 'Alam'.

"Itu sebab saya namakan (putera saya) (Kebawah Duli Yang Maha Mulia) Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sempena nama ayahandanya." 

Titah Raja Permaisuri Agong, baginda berdua selesa menggunakan nama timangan kerana sudah berkenalan sejak kecil lagi.

"Tuanku Agong panggil saya Ji."