"Hanya dalam masa lima saat, bumbung rumah saya hilang."

Demikian diceritakan ibu tunggal, Azizah Ismail, 51 tahun, susulan angin kencang yang melanda kawasan tempat tinggalnya di Kampung Dulang Kechil, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi yang menyaksikan angin kuat menerbangkan bumbung rumah Azizah, sebanyak tiga buah rumah di kampung berkenaan telah mengalami kerosakan.

Azizah berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah bersama dua anak perempuannya, berusia 20-an dan 30-an, serta anak saudaranya yang berusia tiga tahun.

Ketika dia hendak mengangkat pakaian di ampaian kerana hujan turun, angin tiba-tiba bertiup kencang menyebabkan bumbung rumahnya tercabut dan berterbangan.



Lebih menyedihkan, kurang dua minggu lagi, majlis perkahwinan anak lelakinya akan berlangsung pada 23 November ini.

Segala barangan persiapan perkahwinan musnah dalam kejadian itu, katanya.

Perkakasan rumah yang lain, termasuk televisyen dan perabot, rosak akibat terkena air hujan, tambahnya.



Bagaimanapun, Azizah bersyukur kerana mereka berempat selamat dalam kejadian itu.

Katanya, kerugian dianggarkan sebanyak RM6,000.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Kapten (PA) Norlizawati Ismail memaklumkan, pihaknya sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tampil melaporkan kepada pihaknya untuk mendapatkan bantuan sekiranya kediaman mereka rosak akibat bencana yang berlaku.