Tidak semua kontrak kerajaan perlu dibuat secara tender, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini.

Sebagai contoh, katanya, projek yang melibatkan kawasan keselamatan dan yang perlu disiapkan segera mungkin tidak perlu ditender.

“Cuba letak diri anda di tempat saya. Kawasan-kawasan seperti istana, kediaman menteri besar, pejabat kerajaan, semua ini, dari segi penyelenggaraan, kita tak (keluarkan) tender, bukan?

"(Sebaliknya) Kita berikan kepada syarikat yang kita benar-benar yakin,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2019 peringkat negeri Perak, di sini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut kenyataannya pada Jumaat berhubung kontrak penyelenggaraan jalan raya di bawah peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) di Perak.

Kontrak tersebut telah diberikan kepada sebuah syarikat tidak melalui tender terbuka setelah mendapat persetujuan bersama barisan Exco kerajaan Negeri.

Terdahulu, Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan Perak Hasnul Zulkarnain Abd Munaim mengesahkan pelantikan Syarikat Puncak Emas Infra Sdn Bhd sebagai syarikat konsesi bagi kerja penyelenggaraan jalan raya di negeri ini bermula 1 Ogos.

Pelantikan dibuat pihak berkuasa negeri menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 19 Jun lepas.

Menurut Ahmad Faizal, keputusan tersebut dibuat kerana mendapati syarikat itu mampu memberikan perkhidmatan yang dikehendaki.

Untuk rekod, penyelenggaran jalan persekutuan di Perak diberi kepada syarikat konsesi Belati Wangsa Sdn Bhd sejak lebih 15 tahun lalu manakala penyelenggaraan jalan negeri diberi kepada Empayar Indera Sdn Bhd bersama GB Kuari.

Pemberian projek penyelenggaraan jalan-jalan di pihak berkuasa tempatan (PBT) yang diberi kepada Puncak Emas Infra Sdn Bhd telah menimbulkan dakwaan kononnya wujud kesalahan rasuah.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan November depan, untuk program kesedaran alam sekitar.

Menurutnya, ia perlu kerana kesedaran mengenai alam sekitar di kalangan rakyat masih rendah.

Beliau membuat perbandingan antara Bandaraya Fukuoka di Jepun yang mempunyai populasi 1.8 juta orang dan Bandaraya Ipoh dengan 800,000 penduduk.

“Jumlah sampah yang mereka (penduduk Fukuoka) hasilkan satu tahun hanyalah 100,000 tan manakala di Ipoh, kita menghasilkan 180,000 tan untuk tempoh satu tahun - 80,000 tan lebih banyak,” ujarnya.