Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy mengarahkan Jabatan Audit Negara (JAN) melakukan audit berkenaan Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC).

Ini kerana, beliau mendedahkan kepada Dewan rakyat hari ini, tidak semua peruntukan yang dijanjikan kerajaan Barisan Nasional (BN) diterima masyarakat India selama ini.

“Walaupun kerajaan sebelum ini, melalui rangka tindak (blueprint) mencadangkan pelbagai projek-projek pembangunan masyarakat India, tetapi malangnya saya dapat nyatakan bahawa saluran wang yang dikemukakan kepada rakyat sebenarnya tidak kesemuanya sampai.

“Oleh itu, kerajaan baharu telah arahkan JAN untuk membuat audit sepenuhnya bagi mencari kebenaran tentang berapa jumlah sebenarnya yang sampai kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk C. Sivarraajh (BN-Cameron Highlands) yang ingin mengetahui sekiranya kerajaan Pakatan Harapan akan meneruskan inisiatif kerajaan BN dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat India.

Bagaimanapun, Waytha menegaskan, kerajaan kini melaksanakan program yang akan memberi manfaat kepada masyarakat India, terutamanya golongan B40.

Sebelum ini, Datuk Seri Najib Razak ketika menggalas jawatan Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM50 juta kepada Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India yang dikendalikan SEDIC, RM50 juta untuk pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) dan peruntukan RM50 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan serta baik pulih sekolah-sekolah Tamil.