Tidak semua peruntukan di bawah Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) akan dilaksanakan di negara ini, sekiranya kerajaan bersetuju untuk meratifikasi perjanjian itu, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, kerajaan hanya akan melihat kandungan perjanjian itu, dan memilih perkara yang baik dan boleh diterima masyarakat umum di negara ini.

"Kita mahu meratifikasi (Statut Rom) tetapi ia bergantung kepada keadaan di negara ini. Ada beberapa perkara yang mereka mahu di bawah Statut Rom yang kita tidak boleh laksanakan.

"Sebagai contoh Statut Rom memberi kebebasan mutlak kepada semua orang untuk melakukan semua benda. Kini ada lelaki berkahwin dengan lelaki, perempuan berkahwin dengan perempuan, dan saya sendiri tak tahu apa yang mereka lakukan selepas berkahwin.

"Mereka ini orang yang pelik dan kita tidak mahu jadi pelik seperti mereka. Itu kita tidak boleh terima. Kita hanya mahu lakukan perkara yang baik-baik sahaja," katanya lagi.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj baru-baru ini supaya kerajaan tidak terus mengikut apa jua konvensyen antarabangsa hanya untuk mendapatkan pengiktirafan dari luar.

BACA: ICERD, Statut Rom bercanggah dengan Perlembagaan - Sultan Johor

BACA: Statut Rom: Kedudukan, kekebalan Seri Paduka terpelihara - Saifuddin

BACA: Statut Rom: Kerajaan tidak melemahkan Majlis Raja-Raja - Khairuddin

BACA: Keputusan sertai Statut Rom tidak jejas kedudukan Agong - Wisma Putra

BACA: Malaysia terima Statut Rom ICC