Tidak serik menjalankan perniagaan pusat hiburan tanpa lesen, seorang lelaki didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, Khaw Sar Lee, 61, dari Kampung Baru, Simpang Empat, turut berdepan hukuman tambahan penjara lima bulan jika gagal membayar denda.

Dia yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Saidina Khatijah Zaharah Khairulnisak Mohd Noor, bagaimanapun membayar denda berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, sebagai penjaga pusat hiburan CSB Food Trading, No 100, Susuran Tandop, Alor Setar, Khaw didapati menjalankan pusat hiburan itu tanpa lesen yang sah.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 (2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1997. Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Majistret Nor Azah Idris dalam penghakimannya menempelak tertuduh kerana tidak insaf melakukan kesalahan berulang.

Katanya, tertuduh sepatutnya sedar kesan kewujudan premis hiburan haram berkenaan yang menyediakan permainan judi dalam talian dan menimbulkan banyak masalah kepada masyarakat.

Dalam hujahnya, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin menyarankan supaya hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh.