Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan dia sama sekali tidak tahu bagaimana abu mayat Chin Peng, bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) boleh dibawa masuk ke negeri Perak.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung isu itu dan mahu rakyat fokus kepada isu yang lebih besar untuk membangunkan negeri.

“Saya tak tahu ada abu Chin Peng masuk ke negeri Perak, tak ada melalui kerajaan. Ia disebut oleh sekumpulan (orang). Sekarang, saya dapat tahu pihak polis sedang jalankan siasatan dan saya serahkan pada pihak polis.

“Tak perlulah kita nak bincangkan perkara yang sebegitu. Saya nak ajak rakyat sentiasa fokus untuk membincangkan perkara-perkara besar, tentang bagaimana kita nak bawa bread and butter on the table, masalah ekonomi negeri, macam mana nak majukan negeri dan sebagainya,” ujar Ahmad Faizal yang mahu isu Chin Peng diserahkan saja kepada pihak polis.

Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita sewaktu ditemui di program Perak SADC Agrofest di Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak di Ipoh pada Jumaat.

Chin Peng yang lahir di Sitiawan, Perak meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada tahun 2013 ketika berumur 89 tahun.

Media pada 26 November melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa masuk ke Malaysia pada 16 September lalu dan ditabur ke laut berhampiran Lumut, Perak dan di hutan Banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.

Abu mayat bekas pemimpin PKM itu dilaporkan tiba di Ipoh, Perak seterusnya disambut dengan penganjuran sebuah majlis peringatan yang dihadiri 150 individu diadakan pada hari sama.

Perkara itu mendapat reaksi dan menerima kecaman daripada pelbagai pihak, yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan tindakan tersebut kerana disifatkan seolah-olah tidak menghargai perjuangan perajurit yang menentang Komunis.