Kira-kira tiga juta rakyat Malaysia masih ingkar tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bermula 18 hingga 31 Mac ini, untuk membendung penularan COVID-19.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang, angka itu merupakan jumlah yang besar dan perlu ditangani segera.

“Walaupun pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan mencapai kadar pematuhan 90 peratus, namun kita tidak boleh memandang enteng jumlah 10 peratus yang masih ingkar.

“Kegagalan juga bukanlah suatu pilihan kepada ATM, justeru kita akan membantu PDRM memupuk sifat berdisiplin di kalangan rakyat untuk mematuhi perintah dan arahan sah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

“ATM juga bersetuju penguatkuasaan PKP diberi lebih tumpuan di kawasan-kawasan berisiko tinggi seperti pasar dan pasar raya kerana sehingga kini orang ramai didapati masih bersesak dan tidak mengamalkan penjarakan sosial,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Affendi berkata, orang ramai juga dinasihatkan tidak terpengaruh dengan sebarang berita palsu yang tular terutama melibatkan informasi, gambar, video dan rakaman suara yang menunjukkan atur gerak ATM pada skala besar.

“Ia boleh mencetuskan kebimbangan serta panik sedangkan ia (berita palsu) menunjukkan kaedah yang tidak benar dalam penguatkuasaan PKP.

“Secara keseluruhan, seramai 7,500 anggota ATM daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ditugaskan untuk membantu PDRM di 405 lokasi sekatan jalan raya dan 272 kawasan rondaan kereta peronda polis (MPV) di seluruh negara setiap hari,” jelas beliau.

Beliau menyeru supaya masyarakat faham bahawa PKP dilaksanakan atas pertimbangan sewajarnya demi kesejahteraan rakyat.

Katanya, keputusan melibatkan ATM dalam membantu PDRM adalah keputusan yang wajar agar PKP dapat dilaksanakan atau dikuatkuasakan dengan sebaik mungkin.