Sarawak hari ini mencatatkan tiga kes terbaharu positif COVID-19 menjadikan jumlah kes positif di negeri itu setakat ini meningkat kepada 583 kes.

Ketiga-tiga kes tersebut menyaksikan dua kes dilaporkan di Kuching dan satu kes lagi di Samarahan.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, kes pertama merupakan kes ke-581 merupakan seorang lelaki bukan warganegara yang bekerja di sebuah syarikat tempatan di Kuching.

“Kes dilaporkan mengalami sakit tekak bermula 12 Julai 2020 dan telah menjalani saringan swab rT-PCR untuk COVID-19 di sebuah hospital swasta pada 14 Julai 2020.

“Keputusan ujian makmal mendapati swab nasopharyngeal dan oropharyngeal adalah positif untuk COVID-19 pada hari yang sama,” ujar kenyataan sama.

Seterusnya kes kedua yang merupakan kes ke-582, merupakan seorang petugas kesihatan yang bertugas di sebuah hospital swasta di Kuching dan tidak menunjukkan sebarang simptom COVID-19.

Kes dilaporkan menjalani saringan Rt-PCR di sebuah hospital swasta pada 14 Julai 2020 dan keputusan ujian makmal mendapati swab nasopharyngeal dan oropharyngeal adalah positif untuk COVID-19 pada hari sama.

Manakala kes ke-583 merupakan seorang lelaki warga tempatan yang menetap di Kota Samarahan dan bekerja sebagai Jurutera di sebuah syarikat tempatan yang sama dengan kes ke-581.

“Kes juga dilaporkan tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala semasa menjalankan saringan di sebuah hospital swasta.

“Saringan swab rT-PCR untuk COVID-19 dijalankan pada 14 Julai 2020 mendapati swab nasopharyngeal dan oropharyngeal adalah positif untuk COVID-19 pada hari sama,” tambah kenyataan sama.

Ketiga-tiga kes dilaporkan sebagai jangkitan tempatan kerana tiada sejarah perjalanan melawat atau balik dari luar negara dan ketiga-tiga kes masih dalam siasatan.

Justeru, pengesanan kontak rapat yang melibatkan ahli keluarga dan tempat kerja kes juga masih dan sedang giat dilakukan.

Antara lain, tiada kes sembuh dan discaj dilaporkan di seluruh negeri menjadikan jumlah tersebut kekal dengan 554 kes atau 95.03 peratus.