TIADA sistem umpama sistem pentadbiran Malaysia.

Ia amat unik.

Sistem pentadbiran Malaysia, sistem demokrasi berperlembagaan, mengimbangi doktrin moden Barat iaitu demokrasi dengan resam turun-temurun Nusantara iaitu monarki.

Pokok kepada keunikan ini adalah sistem penggiliran raja, yang menyaksikan Yang di-Pertuan Agong baharu dilantik setiap lima tahun.

Sejak kemerdekaan pada 1957, 15 sultan daripada sembilan keluarga diraja telah masing-masing mengambil giliran untuk memegang jawatan ketua negara itu.

Pada 1994, penggiliran ini mula masuk pusingan kedua apabila bekas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Almarhum Tuanku Ja’afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-10.

Ini sekali gus menandakan kali kedua keluarga diraja Negeri Sembilan menyandang jawatan tersebut.

Kini, peletakan jawatan Sultan Muhammad V pada 6 Januari lalu bermakna proses melantik dan menabal Yang Di-Pertuan Agong ke-16 bakal berjalan.

Dan setakat 2019, berbaki tiga kesultanan negeri yang masih belum dilantik sebagai Yang Di-Pertuan Agong untuk pusingan kedua.

Kesultanan Johor

Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar

Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar diputerakan pada 22 November, 1958.

Baginda dilantik sebagai waris apabila bapanya, Almarhum Sultan Iskandar menaiki takhta kerajaan Johor dan dimasyurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai, 1981.

Sultan Ibrahim dimasyurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010 selepas kemangkatan Sultan Iskandar, dan dimahkotakan sebagai Sultan Johor pada 23 Mac, 2015.

Kali terakhir Istana Johor memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong adalah pada 1984 apabila Almarhum Sultan Iskandar diangkat sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Ibrahim sebelum ini menolak pelawaan untuk menjadi Yang Di-Pertuan Agong ke-15 pada 2016.

Kesultanan Pahang

Sultan Ahmad Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar

Sultan Ahmad Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah diputerakan di Istana Mangga Tunggal, Pekan, Pahang pada 24 Oktober, 1930.

Sultan Ahmad Shah juga terkenal dengan minatnya terhadap sukan – baginda menyandang jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dari 1984 hingga 2014, Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hingga 2002 serta Persatuan Bola Speak Asean pada 2011.

Kali terakhir Istana Pahang memegang jawatan Yang Di-Pertuan Agong adalah apabila Sultan Ahmad Shah sendiri diangkat sebagai Yang Di-Pertuan Agong ke-7 pada 1979.

Kesultanan Perak

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah kini memegang jawatan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong dan memangku jawatan Yang Di-Pertuan Agong berkuat kuasa 7 Januari, 2019.

Baginda diputerakan pada 27 November, 1956 di Georgetown, Pulau Pinang.

Kelulusan akademik baginda diperoleh dari universiti-universiti terkemuka dunia, termasuk Kolej Worcester di Oxford dan Universiti Harvard di Amerika Syarikat.

Kali terakhir Istana Perak memegang jawatan Yang Di-Pertuan Agong adalah apabila Sultan Azlan Shah diangkat sebagai Yang Di-Pertuan Agong ke-9 pada 1989.

Tak semestinya tiga ini, kata pakar

“Dari perspektif undang-undangnya mudah saja – Majlis Raja-Raja Melayu boleh memilih sesiapa saja,” kata Pakar Undang-Undang, Professor Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi.

Beliau berkata, ada tiga sebab yang mungkin boleh menyebabkan Majlis Raja-Raja Melayu memilih yang lain daripada yang dijangka.

“Satu; jika Sultan itu masih di bawah umur.

“Kedua; jika Sultan itu menolak pelawaan menjadi Yang Di-Pertuan Agong. Ini pernah terjadi beberapa kali sebelum ini.

“Sebagai contoh pada 1957, apabila Sultan Johor menolak (walaupun sepatutnya baginda yang diangkat menjadi Agong),” katanya.

Beliau merujuk kepada keputusan Sultan Johor ke-22, Almarhum Sultan Sir Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar yang menolak pelawaan menjadi Yang Di-Pertuan Agong pertama pada 1957 walaupun dianggap paling layak pada ketika itu.

“Ketiga; jika ada faktor kelemahan dari segi fizikal, mental atau lain-lain yang menyebabkan Majlis Raja-Raja berpendapat seseorang Sultan itu tidak sesuai diangkat menjadi Agong.

“Hak dan timbang rasa Majlis Raja-Raja sangat luas.

“Tiada jaminan Yang Di-Pertuan Agong seterusnya akan datang daripada tiga Istana ini,” katanya.