Tutup

Tiga lagi kes gejala saluran pernafasan dikesan di Kampung Kuala Koh - Dr Dzulkefly

Tiga lagi kes gejala saluran pernafasan dikesan di Kampung Kuala Koh - Dr Dzulkefly
Masyarakat Orang Asli suku Batek memakai topeng muka di penempatan mereka di Kampung Kuala Koh. Foto: Bernama
KUALA LUMPUR: Tiga kes terbaharu gejala saluran pernafasan dicatatkan dalam kalangan Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh, Gua Musang.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mengesan dua kes pada 20 Jun lalu, manakala satu lagi kes dikesan pada 21 Jun lalu.

“Dua daripada mereka iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dan seorang wanita berusia 24 tahun, kini dirawat di Wad Isolasi Hospital Kuala Krai.

“Manakala seorang lagi pesakit yang merupakan remaja perempuan berusia 18 tahun, dirawat di Wad Isolasi Hospital Gua Musang. Ketiga-tiga pesakit kini dalam keadaan stabil.
“Ini menjadikan kumulatif kes sejak 3 Jun hingga 21 Jun 2019 sebanyak 116 kes dengan gejala saluran pernafasan, 47 daripadanya disahkan measles (campak) melalui ujian makmal,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sehingga 21 Jun lalu, tiada kes kematian baru yang dicatatkan dan rekod kekal dengan tiga kematian.
Ketiga-tiga kes kematian ini telah disahkan measles melalui ujian makmal.

Sementara itu, satu kes baru disyaki measles dilaporkan dari komuniti Orang Asli di Kampung Gerdong, Hulu Terengganu, Terengganu menjadikan jumlah kes sebanyak 13 kes, dengan lapan kes disahkan measles melalui ujian makmal.

Dalam perkembangan sama, tiada kes baharu dikesan dari Kampung Ulu Sat, Jerantut.

Jelas Dr Dzulkefly, sebagai respon kepada wabak measles ini, Pejabat Kesihatan Daerah sedang menjalankan aktiviti imunisasi measles kepada komuniti di kawasan-kawasan yang terlibat dan lokaliti berhampiran dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Tok Batin komuniti berkaitan.


Tag: Kampung Kuala Koh, Orang Asli suku Batek, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, measles



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.