Tiga maut dipercayai terkena bom ikan semasa aktiviti menyelam

Tiga maut dipercayai terkena bom ikan semasa aktiviti menyelam
Polis berkata, maklumat awal mendedahkan insiden di perairan Semporna itu ada kaitan dengan kejadian bom ikan sehingga mengakibatkan kematian ketiga-tiga mangsa. - Astro AWANI
SEMPORNA: Tiga penyelam termasuk dua pelancong warga China maut dipercayai akibat terkena bom ikan, ketika menjalankan aktiviti menyelam di perairan daerah Semporna, pada petang Jumaat.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah ketika dihubungi Astro AWANI sebentar tadi berkata, kejadian difahamkan berlaku sekitar jam 4 hingga 5 petang sebelum pihak berkuasa dimaklumkan mengenainya.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, mangsa dalam kejadian ini melibatkan tiga lelaki iaitu seorang penyelam profesional warga tempatan dan dua lagi yang merupakan pelancong asing.

Beliau berkata, maklumat awal turut mendedahkan insiden tersebut ada kena mengena dengan kejadian bom ikan sehingga mengakibatkan kematian ketiga-tiga mangsa.

"Polis masih mengenal pasti punca kejadian ini namun berdasarkan maklumat yang diterima, mangsa-mangsa yang maut dipercayai terkena bom ikan.
"Siasatan secara menyeluruh masih giat dijalankan dan polis turut meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil segera," katanya.

Jelasnya lagi, lokasi sebenar kejadian itu berlaku juga masih dalam siasatan polis.

Omar berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke hospital berdekatan untuk tindakan lanjut.

Terbaru, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Christina Liew dipetik Bernama berkata, dua pelancong warga China dan seorang jurulatih selaman tempatan maut sewaktu menyelam akibat terkena bom ikan.

"Kami sedih untuk melaporkan berlaku insiden pada 5.50 petang di Semporna. Ini sangat menyedihkan kami kerana ia melibatkan pengeboman ikan secara haram yang menyebabkan kematian kepada  pelancong dan jurulatih selaman kita.

"Kami telah memaklumkan kepada Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu dan Ketua Menteri Sabah mengenai tragedi sedih ini. Pegawai Lembaga Pelancongan Sabah akan memantau situasi itu," katanya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu.

Beliau berkata kawasan itu berlaku di luar Taman Marin Tun Sakaran.

Liew juga menggesa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Polis Marin dan Jabatan Perikanan untuk mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti pengeboman ikan.

Beliau berkata penalti yang lebih berat harus dikuatkuasakan oleh pegawai penguat kuasa.