Tiga beradik maut manakala dua lagi cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam parit di Jalan Kuantan-Pekan awal pagi tadi.

Kemalangan itu bagaimanapun hanya disedari orang awam dua jam selepas kejadian, dan selama tempoh itu, mangsa yang cedera bergenang dalam air sebelum berjaya menyelamatkan diri.

Menurut Ketua Trafik Negeri Pahang Supritenden Mohd Noor Yusof Ali, kejadian berlaku berdekatan Kampung Batu Putih kira-kira jam 5 pagi, melibatkan kenderaan jenis Chery Eastar.

Mangsa terbunuh ialah pemandu, Wan Nur Athirah Wan Mohd Kamaruzzaman, 27 tahun, serta dua lagi adiknya yang duduk di bahagian penumpang belakang, Wan Nur Afifah, 25 tahun, dan Wan Muhammad Mahathir Rafiqi, 14 tahun.

Manakala sepupu mereka, Nurul Aliani Zawawi, 25 tahun, yang duduk di bahagian penumpang sebelah pemandu, cedera di bahagian muka.

Seorang lagi penumpang di bahagian belakang, iaitu ibu saudara mangsa, Salmah Ibrahim, 58 tahun, turut cedera di bahagian dagu.

Difahamkan, mereka sedang dalam perjalanan pulang dari Melaka menuju ke rumah keluarga itu di Kampung Padang Lalang, Binjai, Kemaman, Terengganu.

Terdahulu pada Khamis, mereka menghantar ibu bapa dan adik perempuan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mengerjakan umrah.

Mohd Noor berkata, hasil siasatan awal mendapati pemandu gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan dan melanggar penghadang parit.

Kenderaan itu remuk di bahagian bumbung dan hadapan selepas terbalik dan terjunam masuk ke dalam parit.

Ketika kejadian, jalan yang dilalui licin akibat cuaca hujan. Bagaimanapun, punca sebenar kemalangan masih disiasat.

Kejadian disedari orang awam yang melalui laluan itu sekitar jam 7.15 pagi.

Menurut ahli keluarga mangsa, mereka mendapat maklum berkenaan kejadian itu pada jam 7 pagi selepas Nurul Aliani yang cedera menghubungi mereka.

Katanya, memberitahu bahawa dia berjaya menyelamatkan diri dan ibunya selepas bertarung nyawa selama dua jam bergenang dalam air parit.

Bagaimanapun, katanya, tiga lagi saudaranya itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Kesemua mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.

Mangsa yang cedera dibawa ke hospital sama untuk rawatan dan dilaporkan stabil.

Jenazah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Kapor, Binjai.