MUAR: Tiga penumpang sebuah bas ekspres maut selepas tercampak keluar setelah kenderaan dinaiki mereka bergesel dengan sebuah treler di Kilometer 138 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan, berhampiran tol Pagoh awal pagi tadi.

Dalam insiden yang berlaku sekitar jam 2.30 pagi itu, mangsa yang meninggal dunia ialah dua wanita dikenali sebagai Lim Siew Kee, 61, dan Lai Moon Ching, 25.

Seorang lagi mangsa ialah penumpang lelaki yang masih belum dikenal pasti identitinya.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Singapura itu dipercayai bergesel dan merempuh bahagian tepi sebelah kanan treler terbabit menyebabkan separuh bahagian bas rosak teruk.

“Ketika kejadian, bas itu membawa 25 penumpang dan dua pemandu.

"Bagaimanapun 14 daripada mereka mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar dan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat bagi mendapatkan rawatan.

“Kemalangan itu mengakibatkan tiga penumpang bas tercampak keluar dan seorang daripada mangsa maut di lokasi kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya dalam kenyataan di sini.

Ujar Zaharudin, pemandu bas berusia 54 tahun turut mengalami kecederaan ringan manakala pemandu treler berusia 28 tahun serta 10 lagi penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.